
Data 11 Jun 2021
Lapan puluh empat kematian di seluruh negara akibat Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Daripada jumlah itu 76 membabitkan warganegara dan lapan bukan warga negara, sementara 912 kes pula di rawat di unit rawatan rapi dengan 458 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.
Dalam tempoh sama beliau berkata 7,749 pesakit sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 563,779 kes atau 87.2 peratus, manakala kes aktif adalah sebanyak 78,864.
“Sebanyak 16 kluster baharu turut dikesan menjadikan jumlah kluster aktif mencecah 755,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 6,849 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara menjadikan kumulatif meningkat kepada 646,411 kes.
Beliau berkata kes positif di Selangor menunjukkan peningkatan semula dengan merekodkan 2,558 kes hari ini berbanding tidak sampai 2,000 kes sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu beliau berkata, 16 kluster baharu dikesan iaitu masing-masing lima kluster tempat kerja dan kumpulan berisiko tinggi di Selangor, dan Johor, Sarawak (tiga – tempat kerja), dan masing-masing satu di Sabah, Kuala Lumpur dan Kelantan membabitkan kluster komuniti.