831,523 kanak-kanak lengkap divaksinasi

Seramai 831,523 atau 23.4 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19, kata Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Data laman sesawang CovidNOW menunjukkan seramai 23,732 kanak-kanak telah menerima dos kedua semalam (Jumaat, 29 April 2022).

Sejak PICKids bermula Februari lalu, seramai 1,528,733 kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, sejumlah 16,032,860 atau 68.1 peratus populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi masing-masing apabila menerima suntikan dos penggalak.

Seramai 22,966,843 atau 97.6 peratus lagi individu dewasa menerima dua dos, dan 23,243,191 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,893,112 atau 93 peratus telah lengkap vaksinasi manakala 2,991,223 atau 96.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Keseluruhannya sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Fabruari 2021, sebanyak 70,274,130 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di Malaysia, termasuk rakyat asing.

Daripada jumlah itu, 26,691,478 atau 81.7 peratus telah menerima dua dos, dan 27,763,147 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR