83 kena POCA sejak awal 2022

Seramai 83 individu dikenakan tindakan melalui Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dalam tempoh 1 Januari hingga 10 Mac lallu, kata Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Khalil Azlan Chik.

Beliau berkata daripada jumlah itu 12 dikenakan Perintah Tahanan manakala 71 dikenakan Perintah Pengawasan, membabitkan penjenayah tegar yang tidak dapat diambil tindakan oleh mahkamah disebabkan masalah tertentu, lapor Bernama.

“Memang sukar untuk menuduh seseorang di mahkamah kerana ia memerlukan keterangan yang sahih. Bagaimanapun keterangan mengenai penglibatan individu terbabit memang ada, dan fail telah diserahkan.

“Selepas melalui pelbagai proses di Bukit Aman dan Jabatan Peguam Negara, barulah tindakan boleh diambil. Selain itu ada pegawai inkuiri yang akan bersemuka dengan penjenayah berkenaan untuk membuat apa-apa cadangan kepada LPJ bagi tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Melor di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan ACP Mit Emong.

Khalil berkata sejak POCA diperkenalkan pada 2 April 2014 hingga 10 Mac lepas, 10,012 orang telah dikenakan tindakan melalui akta berkenaan dengan 2,673 orang dikenakan Perintah Tahanan, manakala 6,537 orang dikenakan Perintah Pengawasan dan 802 orang telah bebas.

“Selain itu, sehingga 28 Feb lepas perintah yang masih berkuat kuasa melibatkan Perintah Tahanan adalah seramai 425 individu, manakala yang dikenakan Perintah Pengawasan adalah 2,166 orang. Jumlah keseluruhan adalah 2,591 orang.

“Di Kelantan sahaja ada 127 orang dari kontinjen luar didaftarkan di bawah POCA dan ditempatkan di seluruh balai polis di negeri ini,” katanya.

Menurut Khalil berdasarkan statistik, pada 2021 seramai 1,190 dikenakan tindakan di bawah POCA berbanding 1,968 pada 2020 di beberapa kawasan di seluruh negara termasuk Simpang Renggam, Pokok Sena, Bentong dan Bintulu.

Katanya kebanyakan yang dikenakan perintah ini disebabkan pembabitan mereka dalam jenayah dadah selain kes jenayah penipuan menerusi internet.

“Kita dapati kebanyakan yang dikenakan perintah ini berusia antara 30 dan 40-an. Setakat ini rekod menunjukkan paling muda ditahan adalah 18 tahun, manakala paling tua berusia 73 tahun,” katanya

BERITA BERKAIT
POPULAR