
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dan kes sembuh di seluruh negara semalam, 4 Julai 2022.
Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Isnin, 4 Julai 2022) turun semula di bawah 2,000 kes, namun jumlah kematian naik kepada lapan kes berbanding Ahad.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dalam tempoh itu sebanyak 1,918 jangkitan baharu dilaporkan berbanding 2,536 kes pada Ahad.
Daripada jumlah baharu itu, 1,384 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, diikuti 375 kes (penerima dua dos); 145 kes (individu tidak divaksinasi); dan 14 kes (individu belum lengkap divaksinasi).
Jangkitan baharu itu menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 hingga semalam meningkat kepada 4,575,809 kes, dengan 4,510,643 pesakit telah sembuh, termasuk 2,321 yang pulih semalam.
Sehingga semalam juga, sebanyak 29,382 kes masih aktif, turun berbanding 29,793 kes pada Ahad, dengan 28,140 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (28,508 pada Ahad), dan 26 ditempatkan di PKRC (10 pesakit pada Ahad).
Seramai 1,172 pesakit mendapatkan rawatan di hospital, turun berbanding 1,221 pada Ahad, sementara 44 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (45 pada Ahad), dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Berikut adalah pecahan kes harian semalam serta kumulatif positif sejak 2020 mengikut negeri:
- Selangor – 482 (1,392,496);
- Johor – 89 (386,312);
- Sabah – 119 (375,488);
- Kuala Lumpur – 662 (374,434);
- Sarawak – 25 (308,061);
- Kedah – 48 (301,870);
- Pulau Pinang – 77 (285,805);
- Kelantan – 20 (248,427);
- Negeri Sembilan – 103 (208,234);
- Perak – 153 (207,785);
- Pahang – 27 (172,595);
- Terengganu – 20 (126,715);
- Melaka – 44 (126,352);
- Putrajaya – 38 (22,097);
- Labuan – 6 (21,518); dan
- Perlis – 5 (17,620).
Sementara itu, KKM juga melaporkan lapan pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, dengan semuanya melibatkan kematian di fasiliti kesihatan.
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak Mac 2020 meningkat kepada 35,784 kes.
Lima daripada kematian itu dilaporkan di Pulau Pinang; Johor (dua); dan Kedah (satu).