8 berita ringkas Parlimen 17 Mac

MA63 bincang isu pemberian khas hasil Sabah

Isu pemberian khas 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata mesyuarat itu dijangka diadakan selepas selesai persidangan Dewan Rakyat penggal kali ini yang berakhir minggu depan bagi membincangkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC).

Ini susulan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Pengerusi JCC menerusi jawapan lisannya pada 3 Mac lepas bahawa pemberian khas itu tidak lagi terpakai, lapor Bernama.

“Keputusan JCC ini masih perlu dibentangkan di majlis khas tersebut dan setelah itu akan diputuskan dari segi jumlah yang akan diberi kepada Sabah. Saya telah bincang dengan Menteri Kewangan dan beliau mengatakan dan telah tekankan juga bahawa keputusan itu masih belum dibincangkan.

“Memang negeri Sabah ada pandangan tersendiri dalam perkara ini. Jadi kita tunggu mesyuarat majlis khas yang dijangka diadakan bila selesai persidangan Parlimen minggu depan,” kata Ongkili ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan pantau projek sakit

Kerajaan memandang serius terhadap projek sakit di seluruh negara dan kini sedang memantau perkara tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak lapan projek telah berjaya dipulihkan hasil daripada intervensi Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU).

“Dalam melaksanakan pemantauan terhadap projek sakit, ICU telah melaksanakan intervensi di tapak projek sakit.

“Hasil lawatan intervensi tersebut di Sabah, didapati terdapat beberapa masalah utama berkaitan dengan pengalihan infrastruktur utiliti serta keupayaan agensi pelaksanaan dan perunding,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fasa endemik: 30,000 Duta Komuniti dilantik

Sebanyak 30,000 Duta Komuniti akan dilantik yang akan berperanan memastikan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi oleh komuniti sepanjang tempoh transisi ke fasa endemik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Jemaah Menteri dalam mesyuarat lepas telah bersetuju agar KKMM bekerjasama dengan beberapa kementerian lain bagi mewujudkan program berkenaan.

“Program ini akan dilancarkan di Perlis pada penghujung bulan ini dengan pelantikan kira-kira 30,000 duta yang akan jalankan peranan secara friendly (mesra komuniti). Perincian program ini akan diberikan dari semasa ke semasa,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Berhubung isu pelanggaran SOP semasa penganjuran Program RIUH EK! di Ayer Hitam, Johor Annuar berkata peristiwa itu bukanlah sebahagian daripada agenda program dan ia berlaku selepas beliau beredar setelah majlis tamat.

Jakim kekal di bawah JPM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak awal penubuhannya pada 1997 sehingga kini adalah kekal terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata peranan Jakim dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) adalah sebagai setiausaha dan urus setia yang menggerakkan MKI.

“Apa yang dilaporkan oleh pihak media tentang kedudukan Jakim adalah kurang tepat. Kekeliruan yang dilaporkan oleh pihak media telah diperbetulkan oleh kenyataan rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 12 Mac 2022,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang ingin tahu adakah benar Jakim kini diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja seperti mana dilaporkan media.

Pengumuman pelaksanaan gaji minimum April

Pengumuman berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dijangka dibuat pada bulan depan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengkaji pelaksanaan gaji minimum itu.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat pengumuman atas dasar pelbagai faktor yang perlu diambil kira bagi menjaga kepentingan pekerja. Kita tidak mahu sebarang tindakan kerajaan menambah kadar pengangguran maka kita sedang mengkaji sektor mana yang kita boleh bagi kelonggaran.

“Apabila saya umum sahaja pelaksanaan itu nanti, saya tak mahu majikan mengambil kesempatan mengurangkan jumlah pekerja dengan alasan perniagaan mereka merosot, maka kita sedang ambil langkah positif,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada sesi soal jawab lisan mengenai bila kadar gaji minimum yang baharu akan dilaksanakan.

Jawatan baharu KKM libatkan RM337.5 juta

Keputusan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan jawatan tetap tambahan bagi pegawai-pegawai kesihatan pada 19 Jan lalu melibatkan implikasi kewangan permulaan sebanyak RM337.5 juta setahun bagi 2022, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata implikasi kewangan bagi tujuan pembayaran emolumen kepada pegawai itu akan terus meningkat bagi tempoh 2023 hingga 2025 dengan jumlah RM1.2 bilion.

Beliau menjawab soalan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) dalam sesi soal jawab lisan mengenai kesan kos kepada kementerian dalam tempoh sehingga 2025 berikutan penyerapan ribuan perjawatan tetap pegawai perubatan, pergigian, farmasi dan pakar perubatan.

KKM telah membuka permohonan untuk mengisi 4,446 kekosongan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dengan tarikh tutup permohonan bagi urusan pengambilan berakhir 15 Mac lepas.

KKM sedia serah laporan kematian disyaki akibat vaksin

Kementerian Kesihatan (KKM) tiada halangan untuk menyerahkan laporan bedah siasat kematian yang disyaki berkaitan dengan vaksin Covid-19 kepada panel siasatan bebas untuk meneliti hasil bedah siasat itu, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau memaklumkan KKM tidak menerima laporan kematian yang dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19 sehingga 11 Mac lepas dan sebanyak 607 laporan melibatkan kematian disyaki penerima vaksin diterima sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“(Sekiranya) laporan (bedah siasat) itu diberikan kepada pasukan bebas untuk dinilai semula, saya ingat KKM tiada halangan (untuk berbuat demikian). Dalam hal ini, ia bergantung kepada kehendak ibu bapa (waris) mereka (si mati),” katanya pada sesi soal jawab hari ini.

Beliau yang menjawab soalan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) berkata daripada 607 laporan itu, 451 daripadanya telah selesai penyiasatan dan penilaian oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK).

208 kes kematian di depot Imigresen

Sebanyak 208 kematian dalam tahanan depot Imigresen direkodkan bagi tempoh 2018 hingga 15 Feb lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata antara punca kematian tahanan yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) adalah disebabkan penyakit kejutan septik, tuberkulosis (Tibi), radang paru-paru teruk, jangkitan paru-paru, komplikasi jantung, denggi, kencing manis, sesak nafas, kegagalan fungsi organ, termasuk 25 kes akibat Covid-19 dan sebagainya.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan tahanan di depot Imigresen yang terbaik dengan menyediakan penjagaan serta perlindungan terhadap mereka semasa dalam tahanan.

“Prosedur pengurusan tahanan yang berada dalam depot Imigresen telah dimasukkan dalam Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Prosedur Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen,” katanya pada sesi soal jawab.

BERITA BERKAIT
POPULAR