79 peratus daripada 191 wanita hamil meninggal tak ambil vaksin Covid-19

February 18, 2022 · Isu semasa

Seramai 18,277 wanita hamil di Malaysia dijangkiti Covid-19 sejak Mac 2020 hingga Januari tahun ini, atau 0.64 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan bagi tempoh sama.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 191 wanita hamil meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan berlaku pada 2021.

Bagi 2021, beliau berkata bilangan kes dalam kalangan ibu hamil melonjak pada Julai hingga September tetapi mula menunjukkan tren penurunan pada Oktober 2021 hingga Januari 2022.

“Sejak pandemik Covid-19 bermula pada tahun 2020, sejumlah 191 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19, di mana kesemua kematian dilaporkan berlaku pada tahun 2021. Pada tahun 2022, iaitu sehingga 15 Februari 2022; tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan.

“Bagi tahun 2021, kemuncak bagi kematian ibu hamil akibat komplikasi jangkitan Covid-19 ialah pada bulan Julai (31 kes), Ogos (77 kes), dan September (44 kes). Kes kematian semakin menurun pada bulan Oktober (12 kes), November (tiga kes), dan tiada kes kematian bagi Disember 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata analisis data kematian menunjukkan 79 peratus daripada kes kematian itu tidak menerima vaksin Covid-19 manakala sebanyak 83 peratus lagi mempunyai komorbid.

Selain itu, katanya masalah berat badan atau berat badan berlebihan juga merupakan faktor risiko yang kerap dilaporkan.

Menurutnya salah satu faktor utama yang menyumbang kepada penurunan kes kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19 ialah liputan vaksinasi yang tinggi iaitu sebanyak 94.7 peratus dalam kalangan populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas yang telah dicapai pada Oktober 2021.

“Berdasarkan pencapaian kempen Ibunisasi, data sehingga akhir Oktober 2021 menunjukkan sebanyak 94 peratus daripada ibu hamil yang mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid-19 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan daripada jumlah tersebut, 91 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada ibu hamil mengambil beberapa langkah dalam mencegah jangkitan serta komplikasi Covid-19, termasuk:

a. Memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

b. KKM menyeru semua wanita dan ibu hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 termasuklah dos penggalak kerana pengambilan vaksin terbukti mengurangkan risiko komplikasi jika dijangkiti Covid-19. Ibu hamil yang masih belum menerima dos penggalak boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat atau klinik swasta yang terpilih bagi mendapatkan janji temu awal.

c. Selain itu, langkah-langkah pencegahan seperti berikut mesti dipatuhi oleh ibu hamil dan ahli keluarga:-

– Kekal berada di rumah kecuali untuk tujuan penting dan perlu sahaja;
– Amalkan norma baharu serta mematuhi standard operating procedure (SOP) dalam mencegah jangkitan Covid-19; Ahli keluarga perlu diingatkan untuk tidak menjadi punca jangkitan kepada ibu hamil dengan mematuhi SOP ketika berada di luar rumah; dan
– Jika terdapat ahli keluarga yang menjalani kuarantin di rumah, pastikan mereka patuh sepenuhnya kepada prosedur kuarantin.

d. Sekiranya telah disahkan positif Covid-19, semua ibu hamil perlu hadir ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) untuk menjalani penilaian oleh doktor. Ikut nasihat doktor jika perlu dipantau di fasiliti kesihatan.

e. Sekiranya ibu hamil dibenarkan menjalani kuarantin dirumah, lakukan pemantauan kendiri. Jika gejala semakin merosot, ibu perlu segera ke CAC atau hospital.

f. Jika berlaku kecemasan, boleh hubungi talian 999 atau segera ke hospital berdekatan.

Berita berkaitan
Bajet 2023 kekal fokus bina semula, kukuhkan ekonomi
September 29, 2022· Isu semasa
Semakan keperluan pemakaian pelitup muka dalam kapal terbang
September 29, 2022· Isu semasa
Apa jasa Zahid pulihkan negara selain desak PRU awal dan jatuhkan kerajaan?
September 29, 2022· Politik
Selepas Muhyiddin gesa tangani isu inflasi dan nilai ringgit, baharu Anwar desak
September 28, 2022· Politik
Popular
Ejen kosmetik diculik di Tumpat cuba diseludup ke Laos: Laporan
September 30, 2022
Hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, seorang lagi pendakwah dijangka jadi saksi
September 29, 2022
Firdaus Wong lihat tangkap layar mesej lucah didakwa dihantar Ebit Lew
September 30, 2022
Krisis ekonomi global 2023?
October 1, 2022
Lagi Isu semasa terkini
2,007 kes semalam, 5 kematian
6 jam lalu · Isu semasa
Gempa bumi di Indonesia dirasai penduduk sekitar Lembah Klang
6 jam lalu · Isu semasa
Krisis ekonomi global 2023?
8 jam lalu · Isu semasa
Ejen kosmetik diculik di Tumpat cuba diseludup ke Laos: Laporan
19 jam lalu · Isu semasa
Terbitan MGII Lestari kerajaan RM4.5b terlebih langganan 2.38 kali
19 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mesyuarat MKT UMNO putus 9 ketetapan
16 jam lalu
[VIDEO] 4 wilayah Ukraine jadi milik Rusia
16 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok