7,809,058 terima dos penggalak

Seramai 107,848 individu, terutama yang berusia 60 tahun dan ke atas serta petugas barisan hadapan, menerima suntikan dos penggalak masing-masing semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Menerusi laman sesawang Covidnow yang dikemas kini pagi tadi, sejak 13 Oktober 2021 hingga semalam seramai 7,809,058 atau 33.4 peratus individu telah menerima suntikan dos penggalak.

Sementara itu, KKM juga melaporkan 25.64 juta atau 78.5 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap divaksinasi, manakala lebih 26.02 juta atau 79.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Jumlah itu turut melibatkan 97.7 peratus atau 22,881,770 individu dewasa yang melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.

Statistik Covidnow juga menunjukkan 98.9 peratus atau 23,166,772 individu dewasa lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang dilancarkan 8 September tahun lalu pula, sehingga semalam lebih 5.62 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima suntikan vaksin masing-masing.

Daripada jumlah itu, 87.9 peratus atau 2,765,938 remaja telah lengkap divaksinasi, manakala 90.8 peratus atau 2,856,298 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR