78 kematian, termasuk 22 kes BID

Sebanyak 78 lagi kematian akibat komplikasi Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam pada Jumaat (4 Mac 2022), turun berbanding 86 kes pada Khamis, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Data laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini pagi ini menunjukkan 22 daripada kematian itu melibatkan kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau ‘brought in death’ (BID).

Bagaimanapun, setakat ini tiada maklumat diberikan sama ada 22 kes BID itu turut melibatkan kalangan 292,696 pesakit yang diarah menjalani kuarantin di rumah.

Angka semalam menjadikan kumulatif kematian akibat komplikasi Covid-19 meningkat kepada 33,106 kes, termasuk 6,830 kes BID.

Berdasarkan laman sesawang CovidNOW, sejak seminggu lalu, 26.7 peratus kematian di Malaysia melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas, diikuti 23.7 peratus (70-79 tahun); 19.2 peratus (60-69 tahun); 14.8 peratus (50-59 tahun); 8.4 peratus (40-49 tahun); 4.5 peratus (30-39 tahun); 2.2 peratus (18-29 tahun) dan masing-masing 0.3 peratus bagi kategori usia 5-11 tahun dan 0-4 tahun.

Empat negeri merekodkan kadar kematian harian melebihi 10 kes semalam, didahului dengan Sabah mencatat 15 kes, diikuti Kedah (12 kes); Johor (11 kes); dan Selangor (10 kes).

Sehingga semalam, Sabah merekodkan 3,021 kes kematian, 348,796 kumulatif positif, dengan 305,031 pesakit sembuh dan 40,744 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 39,260 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 510 ditempatkan di PKRC; 925 dimasukkan ke hospital dan 49 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, 2,401,879 atau 62.7 peratus populasi di Sabah telah lengkap divaksinasi, 2,520,361 atau 65.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 742,814 atau 27.3 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Berdasarkan laman sesawang CovidNOW, sejak seminggu lalu, 34.6 peratus kematian di Sabah melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas, diikuti 23.1 peratus (70-79 tahun); 15.4 peratus (60-69 tahun); 13.5 peratus (40-49 tahun); 9.6 peratus (50-59 tahun); dan masing-masing 1.9 peratus bagi kategori usia 18-29 tahun dan 5-11 tahun.

Bagi negeri-negeri lain, lapan kematian dilaporkan di Pulau Pinang; Perak (enam); Pahang (empat); Terengganu (tiga); masing-masing dua di Negeri Sembilan, Sarawak serta Kuala Lumpur, dan masing-masing satu kes di Kelantan, Melaka serta Perlis.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 4 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR