78 kematian semalam, Kedah tertinggi

Jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam meningkat 20 kes berbanding tempoh sama pada Isnin, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Sepanjang tempoh itu, seramai 78 pesakit Covid-19 meninggal dunia, berbanding 58 kes yang direkodkan pada Isnin, menjadikan kumulatif kematian sejak wabak itu mula merebak di negara ini awal tahun lalu, kepada 29,427.

Jumlah semalam turut membabitkan 19 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau dikategorikan sebagai ‘brought in death’ (BID). Keseluruhannya sehingga semalam terdapat 5,951 kes BID.

Kedah merekodkan angka tertinggi semalam apabila 19 pesakit meninggal dunia, termasuk satu kes BID, menjadikan kumulatif keseluruhan sebanyak 2,024 kematian.

Sehingga semalam, Kedah merekodkan 2,740 kes aktif dengan 2,301 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 225 ditempatkan di PKRC; 185 dimasukkan ke hospital; dan 29 dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Negeri itu merekodkan 151,863 kes positif sejak awal tahun lalu hingga semalam, dengan 147,141 pesakit telah sembuh.

KKM turut memaklumkan, Sarawak mencatat 13 kes kematian; diikuti Selangor (12 kes); masing-masing lapan kematian di Kelantan dan Sabah; dan Perak (tujuh).

Johor pula merekodkan empat kematian; masing-masing dua di Melaka dan Terengganu; dan masing-masing satu di Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian direkodkan di Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu jumlah kes aktif meningkat 14 kes menjadi 61,803 berbanding 61,760 kes yang dicatat pada Isnin.

Daripada jumlah itu 48,058 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 7,703 ditempatkan di PKRC; 5,500 dirawat di hospital; dan 542 pesakit dimasukkan ke ICU, termasuk 268 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,511,691 kes positif Covid-19, dengan 2,425,943 pesakit disahkan sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR