78 kematian akibat Covid-19 semalam

Jumlah kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam turun kepada 78 kes termasuk 17 pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau ‘brought in death’ (BID), lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Statistik laman sesawang COVIDNOW menunjukkan sejak awal tahun lalu hingga semalam kumulatif kematian meningkat kepada 28,312 kes, termasuk 5,718 kes BID.

Daripada jumlah kematian semalam, Sarawak merekodkan 17 kes, diikuti masing-masing 11 kes di Perak dan Selangor; Pulau Pinang (10); Johor (sembilan); Sabah (tujuh); Kedah (enam); Negeri Sembilan (tiga); Kelantan (dua); dan masing-masing satu di Perlis dan Terengganu.

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Pahang, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sembilan negeri kekal merekodkan jumlah kematian empat angka sejak awal tahun lalu hingga semalam, dengan tertinggi ialah Selangor membabitkan 9,559 kes; Johor (3,581); Kuala Lumpur (2,538); Sabah (2,450); Kedah (1,952); Pulau Pinang (1,560); Negeri Sembilan (1,221); Sarawak (1,181); dan Perak (1,058).

Sementara itu, KKM juga memaklumkan sehingga semalam jumlah kes aktif turun kepada 80,697, berbanding 89,337 kes yang direkod pada Khamis.

Daripada jumlah itu, 80,049 pesakit menjalani kuarantin di rumah, meningkat berbanding 70,896 yang direkodkan pada Khamis dan 62,857 pada Rabu.

Bagaimanapun, laman COVIDNOW tidak menyatakan jumlah pesakit yang dirawat di PKRC. Sejak tengah malam hingga jam 3 pagi tadi hanya lima pesakit dinyatakan dirawat di hospital, sementara 643 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 320 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Data COVIDNOW sehingga jam 3 pagi menunjukkan hanya lima pesakit dirawat di hospital seluruh negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR