
Data 22 Jun 2021
Sebanyak 77 kematian lagi akibat Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan kumulatif kes kepada 4,554, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata dalam tempoh sama 5,557 pesakit telah sembuh menjadikan jumlah individu yang sembuh daripada Covid-19 kepada 639,181.
Terdahulu beliau memaklumkan jangkitan harian baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh sama masih merekodkan di bawah paras 5,000 kes, tetapi keseluruhan kes yang dicatatkan setakat ini melepasi 700,000 kes.
Katanya sebanyak 4,743 kes positif baharu dicatatkan dengan Selangor merekodkan 1,566 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (635 kes), Negeri Sembilan (585 kes), dan Sarawak (507 kes).
“Jumlah kes aktif adalah sebanyak 62,027. Semalam kes aktif mencatatkan angka 62,918.
“Seramai 875 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi. Daripada jumlah itu 445 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi tempoh sama beliau berkata, 21 lagi kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 2,666 dengan 850 masih aktif dan 1,816 ditamatkan.
Beliau berkata sebanyak 13 daripada kluster itu membabitkan tempat kerja di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.
“Sepuluh daripada kluster tempat kerja itu dikesan di Selangor dan Kuala Lumpur membabitkan 274 individu yang positif Covid-19, dengan paling banyak dijangkiti iaitu 97 individu adlah kluster Industri SS Lapan Sungai Way,” katanya.
Selangor merekodkan tujuh kluster baharu tempat kerja dan pusat tahanan, diikuti Kuala Lumpur (empat – tempat kerja); Kelantan (tiga – komuniti); masing-masing dua di Negeri Sembilan dan Sarawak (tempat kerja dan komuniti); dan masing-masing satu di Johor, Kedah serta Melaka membabitkan kluster tempat kerja, pendidikan tinggi dan kumpulan berisiko.

Data 22 Jun 2021