77 kematian direkod, 11 lagi kluster tempat kerja dikesan

Data 5 Julai 2021

Sebanyak 11 lagi jangkitan di tempat kerja daripada 13 kluster baharu dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, kluster tempat kerja itu membabitkan dua di Negeri Sembilan; Johor (dua); Sabah (dua); Pahang (dua); dan masing-masing satu di Sarawak, Kedah dan Pulau Pinang.

Sementara itu, dua kluster komuniti turut direkodkan di daerah Bachok, dan Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 4,532 pesakit disahkan sembuh menjadikan keseluruhan 710,018 kes kumulatif atau 90.4 peratus.

Terdahulu beliau memaklumkan 6,387 kes baharu direkodkan dalam tempoh itu membabitkan 26 kes import yang terdiri daripada 13 warganegara dan 13 bukan warganegara.

“Sebanyak 77 kematian dilaporkan hari ini membabitkan 73 warganegara dan empat bukan warganegara. Angka itu menjadikan kumulatif sebanyak 5,574 kes kematian.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 923 kes. Manakala kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan ialah 433 kes.

“Sebanyak 69,447 kes masih aktif. Demikian juga 855 kluster masih aktif,” katanya.

POPULAR