77 kematian, 23 kes BID

Seramai 77 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, berbanding 76 kes pada Jumaat, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Daripada jumlah itu, 23 kematian melibatkan pesakit meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan atau kes ’brought in death’ (BID), namun tiada maklumat sama ada kes itu turut melibatkan 311,946 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah.

Sejak awal 2020 lalu hingga semalam negara merekodkan kumulatif kematian sebanyak 33,720 kes, termasuk 7,018 kes BID.

Data laman sesawang CovidNOW kendalian KKM menunjukkan, Pulau Pinang mencatat jumlah kematian tertinggi semalam membabitkan 12 kes, menjadikan kumulatif sebanyak 1,865 kes.

Sehingga semalam, Pulau Pinang merekodkan kumulatif positif sebanyak 239,267 kes, dengan 220,312 pesakit telah sembuh, dan 17,090 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 16,544 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 140 ditempatkan di PKRC; 384 dimasukkan ke hospital; dan 22 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 13 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga 11 Mac lalu, seramai 1,529,533 atau 86.2 peratus populasi di Pulau Pinang telah lengkap divaksinasi, 1,607,494 atau 90.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,015,702 atau 73.9 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Sementara itu, Kelantan dan Selangor masing-masing mencatat 11 kematian semalam, diikuti Kedah (sembilan); Johor (lapan); Perak (tujuh); dan masing-masing empat di Perlis serta Terengganu.

Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur masing-masing mencatat tiga kes kematian semalam; Sabah (dua); dan masing-masing satu di Melaka, Pahang serta Sarawak.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Labuan dan Putrajaya, semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR