76.6 peratus populasi Malaysia lengkap divaksinasi

Sebanyak 76.6 peratus atau 25,011,232 individu daripada keseluruhan populasi Malaysia telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing sama ada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal, hingga semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini berkata, 78.7 peratus atau 25,688,568 individu lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 21.3 peratus lagi belum divaksinasi.

Sementara itu seramai 1,571,340 individu dewasa khususnya warga emas berusia 60 tahun ke atas dan petugas barisan hadapan telah menerima suntikan dos penggalak.

Keseluruhannya sebanyak 52,082,943 dos vaksin telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Dalam tempoh itu, seramai 22,413,570 atau 95.7 peratus individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas, juga telah melengkapkan suntikan dos masing-masing.

“Sebanyak 97.9 peratus atau 22,930,251 individu dewasa lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, sementara 2.1 peratus lagi belum divaksinasi. Keseluruhannya sehingga semalam, 46,726,964 dos diberikan kepada golongan itu,” menurut statistik dikeluarkan menerusi laman sesawang Covidnow.

Mengenai PICK Remaja, KKM melaporkan sejak 8 September lalu hingga semalam seramai 5,355,979 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.

Daripada jumlah itu, 2,597,662 atau 82.5 peratus telah lengkap divaksinasi.

Sebanyak 87.6 peratus atau 2,758,317 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 12.4 peratus lagi belum divaksinasi.

Dari segi pemberian vaksin, 53.6 peratus daripada jumlah dos yang diberikan membabitkan vaksin jenama Pfizer; Sinovac (38.2 peratus); AstraZeneca (7.7 peratus); dan vaksin dos tunggal Cansino (0.4 peratus).

Sepintas lalu berkaitan Covid-19 dan vaksinasi mengikut negeri sehingga 22 November 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR