7,567 pesakit sembuh, kematian pula turun

Data 20 Julai 2021

Sebanyak 7,567 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan keseluruhannya 798,955 kes kumulatif atau 85 peratus daripada keseluruhan jumlah jangkitan sebanyak 939,899 kes.

Jumlah kes kematian turun sedikit berbanding 129 yang dilaporkan semalam.

Selangor mencatatkan kematian tertinggi dengan 31 kes, namun dua negeri melaporkan lonjakan kes kematian dengan masing-masing mencatatkan 16 kes di Johor dan lapan kematian di Kedah.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini masih terdapat 133,703 kes aktif dengan 924 kes dirawat di unit rawatan rapi di mana 448 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 93 lagi kematian, termasuk dua membabitkan bukan warganegara, menjadikan keseluruhannya 7,241 kes kumulatif.

“Sebanyak 18 kluster baharu, termasuk 13 daripadanya adalah jangkitan tempat kerja, dikesan menjadikan 920 kluster masih aktif manakala 2,379 kluster sudah ditamatkan,” katanya,

Empat daripada kluster tempat kerja dikesan di Selangor, Johor (tiga), Kuala Lumpur (dua), dan masing-masing satu di Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Satu kluster komuniti turut dikesan di Sabah dan Perak, manakala Johor dan Pahang merekodkan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Perak turut merekodkan satu kluster pusat tahanan membabitkan 48 kes positif.

Dr Noor Hisham juga memberitahu daripada 12,366 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 52 kes atau 0.4 peratus adalah daripada kategori 5 iaitu pada tahap kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan, dan 33 kes (0.3 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen).

Sebanyak 93 kes atau 0.8 peratus pula adalah kategori 3 (radang paru-paru), 4,861 kes (39.2 peratus) kategori 2 (bergejala ringan), dan 7,327 kes (59.3 peratus) kategori 1 (tidak bergejala). Keseluruhannya, hanya 1.5 peratus kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori 3, 4, dan 5.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, beliau berkata berdasarkan data terkini pada 19 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.14 dengan Terengganu mencatatkan nilai tertinggi iaitu RT 1.30.

Negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah, Kedah (nilai RT 1.24), Sabah (nilai RT 1.23), Wilayah Persekutuan Putrajaya (nilai RT 1.22), Pulau Pinang (nilai RT 1.20), Johor (nilai RT 1.18), Negeri Sembilan (nilai RT 1.17), Pahang (nilai RT 1.16), Selangor (nilai RT 1.15), Melaka (nilai RT 1.14), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (nilai RT 1.10), Perak (nilai RT 1.10), dan Kelantan (nilai RT 1.09).

Data 20 Julai 2021

POPULAR