750 pesakit dimasukkan ke hospital semalam kategori 3, 4 dan 5

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 750 kes positif Covid-19 yang dimasukkan ke hospital semalam (31 Mac 2022) membabitkan kategori 3, 4 dan 5, manakala 428 kes lagi kategori 1 dan 2.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut berkongsi maklumat berkaitan 18,560 jangkitan baharu yang dilaporkan semalam.

Ia membabitkan:

  • Kategori 1: 9,473 kes (51.04%);
  • Kategori 2: 8,962 kes (48.29%);
  • Kategori 3: 47 kes (0.25%);
  • Kategori 4: 37 kes (0.20%); dan
  • Kategori 5: 41 kes (0.22%).

Daripada 125 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 itu:

  • 34 kes (27.20%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;
  • 50 kes (40.00%) telah menerima dua (2) dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak;
  • 41 kes (32.80%) telah menerima dos penggalak;
  • 67 kes (53.60%) berumur 60 tahun dan ke atas; dan
  • 66 kes (52.80%) mempunyai komorbid.

Berdasarkan maklumat yang dikongsinya, jumlah kes sembuh iaitu sebanyak 18,253 kes semalam adalah lebih rendah berbanding kes positif.

“Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 187 adalah kes import yang membabitkan 175 warganegara dan 12 bukan warganegara. Selebihnya, 18,373 adalah kes tempatan yang turut melibatkan 823 pesakit bukan warganegara,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham juga berkata kadar kebolehjangkitan varian Omicron adalah lebih tinggi berbanding varian Delta dan kebanyakan pesakit mengalami gejala yang lebih ringan, di mana jumlah kes dengan komplikasi teruk adalah rendah.

Keadaan ini, katanya disumbangkan oleh tahap imuniti yang tinggi terhadap virus SARS-CoV-2 pada seseorang hasil daripada vaksinasi Covid-19 atau imuniti semulajadi selepas jangkitan Covid-19.

“Berbanding dengan gelombang varian Delta yang berlaku dari penghujung Jun 2021 hingga Oktober 2021, gelombang varian Omicron yang bermula dari Januari 2022 hingga kini menunjukkan kadar kematian, kemasukan ke ICU, dan penggunaan alat bantuan pernafasan yang lebih rendah meskipun terdapat peningkatan jumlah pada kes harian,” katanya.

Beliau berkata ketika fasa peralihan ke endemik bermula hari ini, masyarakat perlu belajar untuk hidup bersama virus Covid-19 dalam keadaan yang paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga, dan masyarakat.

Menurutnya, pengurusan pandemik Covid-19 perlu beralih daripada kebergantungan kepada intervensi kerajaan seperti prosedur operasi standard dan undang-undang kepada keperihatinan kerajaan, tanggungjawab individu, dan solidariti komuniti.

BERITA BERKAIT
POPULAR