
Banjir di empat negeri semakin buruk.
Jumlah mangsa banjir di empat negeri setakat jam 7 pagi tadi meningkat kepada 750 orang melibatkan 210 keluarga, menurut data rasmi dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), hari ini (10 Disember 2022).
Seramai 346 mangsa daripada 106 keluarga melibatkan tiga daerah di Pahang, diikuti 339 mangsa (91 keluarga) di empat daerah di Terengganu; 51 mangsa (10 keluarga) di sebuah daerah di Perak; dan 14 mangsa (tiga keluarga); di sebuah daerah di Kelantan.
Sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat negeri itu bagi menempatkan mangsa banjir, melibatkan tujuh PPS di Terengganu; Pahang (empat PPS) dan masing-masing satu di Perak dan Kelantan.
Di Terengganu, tujuh PPS dibuka iaitu di Surau Taman Perumahan Bukit Cina di Besut yang menempatkan 14 mangsa daripada lima keluarga diikuti dua PPS di Kuala Nerus iaitu SK Bukit Nenas (17 mangsa, 17 keluarga) dan SK Tok Jembal (126 mangsa, 33 keluarga).
Dua PPS dibuka di Kuala Terengganu melibatkan (SK Atas Tol (63 mangsa, 20 keluarga); dan SK Chendering (34 mangsa, 10 keluarga). Dua PPS dibuka di Setiau melibatkan SK Kg Seri Kasar (16 mangsa, empat keluarga); dan Surau Kg Bukit Mok Som (14 mangsa, dua keluarga).
Di Pahang, dua PPS dibuka di Lipis iaitu di Masjid Beletik (27 mangsa, tujuh keluarga); dan PPS SK Lubuk Kulit (52 mangsa, 19 keluarga).
Dua PPS dibuka masing-masing di Bera iaitu di SK Seri Buntar (17 mangsa, empat keluarga); dan di Temerloh di SMK Seri Semantan (250 mangsa, 76 keluarga).
Di Kelantan, sebuah PPS dibuka di SK Melor di daerah Kota Bharu yang menempatkan 14 mangsa daripada tiga keluarga.
Di Perak pula sebuah PPS di buka di Dewan SMART Batu 14, Hilir Perak, yang menempatkan 51 mangsa daripada 10 keluarga.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air sungai di lima negeri mencatat bacaan melebihi paras bahaya melibatkan Negeri Sembilan; Melaka; Pahang; Kelantan; dan Sarawak.

Pecahan PPS dan mangsa banjir sehingga jam 7 pagi, 10 Disember 2022.