75.9 peratus populasi Malaysia lengkap divaksin sehingga semalam

Seramai 24,773,921 atau 75.9 peratus populasi Malaysia telah lengkap divaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu hingga semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Dalam tempoh itu juga, 78.4 peratus atau 25,587,520 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Sejak 13 Oktober lalu hingga semalam juga, seramai 900,201 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta petugas barisan hadapan telah menerima dos penggalak masing-masing.

Keseluruhannya, lebih 51 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi negara.

Sementara itu, jumlah individu dewasa yang melengkapkan suntikan vaksin masing-masing meningkat kepada 22,278,477 penerima atau 95.2 peratus daripada keseluruhan 45,849,574 dos yang diberikan kepada golongan itu sehingga semalam.

Sebanyak 97.7 peratus atau 22,854,725 individu dewasa lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sejak 20 September hingga semalam, seramai 2,495,444 atau 79.3 peratus remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun telah lengkap divaksin.

Sementara 86.8 peratus atau 2,732,795 remaja menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada keseluruhan 5,228,239 dos vaksin yang diberikan kepada golongan itu.

Sebanyak 13.2 peratus remaja dan 2.3 peratus individu dewasa belum divaksin.

BERITA BERKAIT
POPULAR