70 pesakit Covid-19 meninggal semalam, 557 di ICU

Seramai 70 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, meningkat tujuh kes berbanding 63 kematian yang dilaporkan pada Isnin.

Jumlah terbaharu itu turut melibatkan 15 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau kategori ‘brought in death’ (BID), lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Keseluruhannya jumlah kematian sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu hingga semalam meningkat kepada 29,045 kes, termasuk 5,879 dalam kategori BID.

Berdasarkan statistik KKM yang dikemas kini dalam laman sesawang COVIDNOW, Sarawak terus mencatat jumlah kematian tertinggi empat hari berturut-turut.

Semalam negeri itu merekodkan 18 kematian, termasuk empat dalam kategori BID, berbanding 20 kes yang dilaporkan pada Isnin. Jumlah keseluruhan kes kematian di Sarawak akibat Covid-19 kini naik kepada 1,370 pesakit.

Semalam, jangkitan baharu di negeri itu meningkat daripada 478 kes pada Isnin kepada 528 kes, menjadikan kumulatif positif sebanyak 241,781 kes dengan 233,299 daripadanya telah sembuh.

Sementara itu, Kelantan dan Selangor masing-masing mencatat 11 kes kematian, diikuti Pulau Pinang (lapan); Kedah (enam); Perak (lima); masing-masing empat di Johor dan Sabah; dan masing-masing satu di Pahang, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan jumlah kes aktif turun sebanyak 371 kes, daripada 67,233 yang dilaporkan pada Isnin kepada 66,862 semalam.

Daripada jumlah itu, 51,472 individu menjalani kuarantin di rumah, 8,988 ditempatkan di PKRC, 5,845 dirawat di hospital, dan 557 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 300 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor kekal mencatat kes aktif tertinggi iaitu sebanyak 13,945 kes, dengan 11,264 menjalani kuarantin di rumah, PKRC (1,553), Hospital (1,036), dan ICU (92). Jumlah kes positif di negeri itu mencecah 715,008 dengan 692,904 pesakit sembuh dan 9,613 kes kematian.

Sejak awal tahun lalu hingga semalam jumlah kes positif di seluruh negara meningkat kepada 2,475,983 pesakit dengan 2,385,432 daripadanya telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR