7 April perbicaraan tuntutan harta sepencarian balu bekas Menteri

Perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian yang dikemukakan balu bekas menteri, Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 7 April depan.

Balu Jamaludin, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, 66, memfailkan tuntutan harta sepencarian itu pada Oktober 2018.

Kalsom selaku plaintif diwakili peguam syarie Datuk Sulaiman Abdullah, manakala empat anaknya iaitu Ikwan Hafiz, 35; Nur Anis, 37; Nurul Alyaa, 31; dan Noor Adilla, 27; yang juga defendan pertama sehingga keempat diwakili peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman.

Kedua-dua pihak hadir pada prosiding itu.

Terdahulu, kes ditetapkan untuk perbicaraan di hadapan Hakim Haznita Hamidon yang mana ibu Allahyarham, Aminah Abdullah, 85, selaku defendan kelima dijadual memberi keterangan.

Bagaimanapun, Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar yang mewakili Aminah, berkata plaintif hanya menyerahkan ikatan dokumen pagi tadi dan pihaknya memerlukan masa untuk penelitian.

Nur Hidayah ketika ditemui media berkata, pihaknya turut membangkitkan beberapa isu berhubung dokumen dan bantahan terhadap pernyataan saksi.

“Wujud isu berhubung kelewatan pemfailan dokumen dan kami (defendan kelima) memohon kos RM100,000.

“Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan kos dan menetapkan 7 April ini untuk perbicaraan kes,” katanya.

Pada 2 Mac 2018, Aminah memfailkan permohonan mendapatkan sijil faraid untuk pembahagian harta Allahyarham yang dianggar bernilai lebih RM2 bilion mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, meninggalkan seorang balu iaitu Kalsom, dan empat anak iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla.

Pada 4 April 2015, Jamaludin yang ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima yang lain maut apabila helikopter dinaiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

BERITA BERKAIT
POPULAR