68 kematian, Perak tertinggi

Sebanyak 68 kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, termasuk 12 pesakit yang meninggal dunia sebelum mendapat rawatan perubatan atau ‘brought in death’ (BID).

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laporan harian berkaitan Covid-19 hari ini berkata, angka itu menjadikan kumulatif kes kematian sebanyak 29,837, termasuk 6,036 kes BID.

Perak merekodkan kes kematian tertinggi semalam dengan 13 pesakit meninggal dunia, menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sebanyak 1,198 kes.

Sejak awal tahun lalu hingga semalam juga, negeri itu merekodkan 119,827 kes positif dengan 116,431 pesakit disahkan sembuh.

Sehingga kini, Perak mencatat 2,288 kes aktif, termasuk 1,628 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah; 180 ditempatkan di PKRC; 435 dimasukkan ke hospital; dan 45 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 23 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor pula merekodkan 10 kematian semalam, menjadikan kumulatif sebanyak 9,710 kes.

Terengganu mencatat sembilan kematian; diikuti Sarawak (lapan); masing-masing empat di Johor, Kedah dan Kuala Lumpur; masing-masing tiga di Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah; serta satu kes di Pulau Pinang.

Tiada kes kematian dilaporkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan jumlah kes aktif meningkat lagi sebanyak 1,477 kes pada Selasa, kepada 66,793 kes semalam.

Daripada jumlah itu, 52,235 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 8,242 ditempatkan di PKRC; 5,780 dimasukkan ke hospital; dan 536 pesakit kini dirawat di ICU, dengan 251 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya sejak awal tahun lalu hingga semalam, negara merekodkan 2,557,516 kes positif dengan 2,466,523 daripadanya disahkan sembuh.

Sementara itu, Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – yang menyaksikan lonjakan kes baharu semalam, merekodkan 21,643 kes aktif, meningkat 599 kes berbanding Selasa.

Daripada jumlah itu, 18,518 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,453 ditempatkan di PKRC; 1,546 dimasukkan ke hospital; dan 126 dirawat di ICU dengan 75 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, Lembah Klang merekodkan 938,335 kes positif dengan 908,176 pesakit disahkan sembuh, manakala 12,316 pesakit lagi meninggal dunia, termasuk 2,741 kes BID.

BERITA BERKAIT
POPULAR