[KEMAS KINI] 37 kluster baharu dikesan, 6,742 pesakit sembuh

Data 16 Julai 2021

Jumlah kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi di seluruh negara mencatatkan sebanyak 115 kes, termasuk 11 bukan rakyat Malaysia, menjadikan keseluruhannya 6,728 kematian sejak awal tahun lalu.

Dua negeri di Lembah Klang iaitu Selangor merekodkan 53 kes kematian, manakala di Kuala Lumpur sebanyak 24 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 6,742 pesakit juga disahkan sembuh menjadikan keseluruhan kes sembuh sebanyak 772,542.

Jumlah kes aktif kini naik kepada 114,053. Seramai 896 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi, dan 459 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu beliau memaklumkan dalam tempoh 24 jam itu 12,541 jangkitan baharu, termasuk 16 kes import membabitkan empat rakyat asing, dilaporkan menjadikan keseluruhan kumulatif adalah sebanyak 893,323 kes, dengan Selangor kekal mencatat kes tertinggi.

Katanya Selangor terus mencatat kes tertinggi sebanyak 5,512 diikuti Negeri Sembilan (1,619), dan Kuala Lumpur dengan 1,542 kes.

Beliau berkata daripada jumlah jangkitan baharu itu, 6,504 kes atau 51.9 peratus membabitkan Kategori 1 iaitu tidak bergejala, Kategori 2 (gejala ringan – 5,848), Kategori 3 (radang paru-paru – 86), Kategori 4 (radang paru-paru memerlukan oksigen – 49), dan Kategori 5 (kritikal dan bantuan alat pernafasan – 54 kes).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 37 kluster baharu dikesan di seluruh negara dengan jangkitan di tempat kerja kekal menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 19 kluster, diikuti lapan kluster komuniti; pusat tahanan (empat); dan masing-masing tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan.

Setakat ini, katanya 2,312 kluster sudah ditamatkan, manakala 893 kluster masih aktif.

Tiga kluster tempat kerja masing-masing dikesan di Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Johor, masing-masing dua di Melaka dan Kelantan dan masing-masing satu di Terengganu, Kuala Lumpur dan Perak.

Penularan dan jangkitan Covid-19 di Jalan Bangsar, Lembah Pantai di Kuala Lumpur pula menyumbang jumlah kes positif tertinggi bagi kluster komuniti iaitu membabitkan 131 individu.

Kluster komuniti juga turut dikesan di Terengganu, Sarawak, Kelantan, Perak, Johor dan Selangor.

Sementara itu kluster pusat tahanan Bakti 2 di Negeri Sembilan merekodkan jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 402 individu positif Covid-19.

Kluster pusat tahanan yang lain membabitkan Kedah seramai 94 individu; dan 128 kes membabitkan dua pusat tahanan di Johor.

Kluster kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan turut dikesan di Selangor, Sabah, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata sehingga 15 Julai lalu, nilai RT negara ialah 1.20 dengan negeri tertinggi membabitkan Putrajaya yang mencatatkan nilai RT 1.32.

“Negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Terengganu (nilai RT 1.27), Kedah (nilai RT 1.23), Selangor (nilai RT 1.20), Pulau Pinang (nilai RT 1.20), Negeri Sembilan (nilai RT 1.17), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (nilai RT 1.15), Melaka (nilai RT 1.14), Pahang (nilai RT 1.12), Johor (nilai RT 1.10), Kelantan (nilai RT 1.10), Perak (nilai RT 1.10), dan Sabah (nilai RT 1.09),” katanya.

POPULAR