67 kematian dicatat hari ini

Sebanyak 67 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, turun sedikit daripada yang dicatatkan semalam sebanyak 78 kes menjadikan kumulatif sebanyak 2,796 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 15 kes kematian dicatatkan di Selangor, Johor (12), Sarawak (lapan), Kedah (enam).

Masing-masing lima kes kematian dilaporkan Negeri Sembilan dan Kelantan, di Pahang (empat), masing-masing tiga kes di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Melaka, dua kes di Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (satu), katanya.

Beliau berkata jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara bagi tempoh 24 jam lalu sehingga 12 tengah hari mencatatkan 6,824 berbanding pada Ahad sebanyak 6,999 kes.

“Ini menjadikan kumulatif kes sebanyak 572,357 dengan 79,523 adalah kes aktif. Manakala kes sembuh pula adalah sebanyak 5,251.

“Seramai 851 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 422 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, walaupun kes positif baharu menunjukkan penurunan, tetapi catatan di 10 negeri menunjukkan peningkatan iaitu di Sabah, Johor, Sarawak, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Kedah, Melaka, Labuan, Putrajaya dan Perlis.

Sabah melaporkan 207 kes baharu hari ini berbanding 190 pada Ahad, sementara Johor sebanyak 489 kes (433); Sarawak 654 kes (513); Pulau Pinang 328 kes (248); Kelantan 695 kes (612); Perak 255 kes (212); Kedah 464 kes (422); Melaka 352 kes (202); Labuan 166 kes (133); Putrajaya 28 kes (13); dan Perlis 12 kes (7).

BERITA BERKAIT
POPULAR