
Tahap perlindungan terhadap jangkitan dan kemasukan ke hospital akibat Covid-19 adalah tertinggi bagi mereka yang mengambil dos penggalak kedua. - Gambar AFP
Seramai 45,480 individu dewasa menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 semalam (30 Mac 2022), meningkat berbanding 40,718 individu yang menerima dos ketiga itu pada Selasa.
Jumlah itu menjadikan sehingga semalam, seramai 15,758,429 atau 67.0 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak sejak program itu dilancarkan 1 Oktober tahun lalu.
Menjelang esok (1 April), status vaksinasi Covid-19 akan menjadi tidak lengkap bagi:
- Penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas yang belum menerima dos penggalak; dan
- Penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun dan ke atas.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan bahawa sijil digital suntikan Covid-19 akan kekal dalam aplikasi MySejahtera walaupun tidak mengambil dos penggalak.
Sementara itu, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari tahun lalu hingga semalam, lebih 68.84 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi di Malaysia, termasuk rakyat asing.
Daripada jumlah itu, seramai 25,803,265 atau 79.0 peratus telah lengkap divaksinasi, manakala 27,499,639 atau 84.2 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Secara keseluruhannya jenama vaksin yang digunakan sejak PICK dimulakan ialah Pfizer sebanyak 60.3 peratus; Sinovac (31.1%); AstraZeneca (8.2%); dan Cansino (0.3%).
Bagi PICK Dewasa, seramai 22,952,209 atau 97.6 peratus telah lengkap divaksinasi, sementara 23,228,125 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Sejak 8 September tahun lalu, seramai 2,851,056 atau 91.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 2,947,622 atau 94.7 peratus lagi menerima dos pertama.
Sementara itu, seramai 1,323,892 atau 37.3 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun telah menerima dos pertama masing-masing sejak PICKids dilancarkan 3 Februari lalu.
Terdahulu, kajian dilakukan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dan Boston Children’s Hospital, mendapati kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 adalah 68 peratus kurang berkemungkinan dimasukkan ke hospital akibat Omicron.