661,752 kanak-kanak terima vaksin Covid-19

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 661,752 atau 18.6 peratus kanak-kanak kini telah menerima vaksin Covid-19, dengan 34.7 peratus melibatkan Sarawak.

Menerusi kemas kini laman sesawang CovidNOW pagi tadi, 45,526 daripada kanak-kanak berusia lima hingga di bawah 12 tahun itu telah menerima dos pertama semalam.

Sementara itu, 95,380 individu dewasa menerima dos penggalak semalam, kata KKM.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan populasi dewasa yang menerima dos penggalak sebanyak 60.7 peratus atau 14,274,843 individu.

KKM juga memaklumkan sejak 24 Februari tahun lalu sehingga semalam, sebanyak 97.5 peratus atau 22,946,057 populasi dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 23,224,993 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sejak 8 September 2021 lalu hingga semalam, seramai 2,799,485 atau 90.0 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi.

Sementara, 2,889,543 atau 92.9 peratus remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, kata KKM.

Keseluruhannya lebih 66.58 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing.

Daripada jumlah itu, 78.8 peratus atau 25,745,542 individu telah lengkap divaksinasi, dan 26,776,288 atau 82.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR