[KEMAS KINI] 66 kematian semalam, Terengganu tertinggi

Sebanyak 66 kematian baharu direkodkan akibat jangkitan Covid-19 sehingga tengah malam tadi.

Rekod tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,718 orang, daripada 2,661,956 kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Berdasarkan laman sesawang Covidnow, sembilan daripada 66 kes kematian itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID) menjadikan jumlah BID yang direkodkan kini seramai 6,216 korban.

Terengganu merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 12 kes menjadikan kumulatif di negeri itu sebanyak 630 kematian, termasuk 67 kes ‘brought in death’ (BID).

Sehingga semalam, negeri itu merekodkan 2,277 kes aktif dengan 1,465 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 477 ditempatkan di PKRC; 312 dimasukkan ke hospital; dan 23 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 15 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Selangor mencatat 11 kematian, diikuti Kedah (lapan); Perak (tujuh); Pulau Pinang (enam); Sabah (lima); dan Negeri Sembilan (empat).

Johor dan Kuala Lumpur pula masing-masing merekodkan tiga kematian; diikuti masing-masing dua di Kelantan, Pahang serta Sarawak dan satu kes kematian di Melaka.

Tiada kes kematian direkodkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Kes kematian dilaporkan itu turut membabitkan angka kematian tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan, proses pengesahan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat jangkitan wabak itu atau sebaliknya yang mengambil masa untuk dilengkapkan dalam data KKM.

Sementara itu, laman web terbabit turut mengesahkan terdapat 60,411kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 49,279 individu atau 81.6 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Seramai 5,875 orang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),” menurut laman tersebut.

Pada ketika ini, kadar penggunaan katil di wad ICU di seluruh negara adalah 58.6 peratus atau 437 orang dengan 39.2 peratus pesakit Covid-19.

Daripada jumlah itu, 197 pesakit Covid-19 di ICU memerlukan alat bantuan pernafasan dan 240 lagi tidak memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, bilangan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah seramai 1,036 orang, merangkumi 36 peratus, berbanding kadar penggunaan katil keseluruhan kira-kira 67.6 peratus.

Kadar penggunaan katil tertinggi dicatatkan Terengganu iaitu 67 kes atau 86 peratus, diikuti Kedah (43 kes atau 80 peratus), Kelantan ( 97 kes atau 79 peratus), Melaka (22 kes atau 78 peratus) dan Johor 183 atau 72 peratus.

Semalam, jumlah kes harian kes adalah sebanyak 4,965 kes termasuk 29 kes import.

Keseluruhannya sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu hingga semalam, sebanyak 2,661,956 kes positif dikesan, dengan 2,576,870 pesakit telah sembuh.

Selangor kekal menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah jangkitan Covid-19 iaitu sebanyak 761,494 kumulatif positif, dengan 735,632 pesakit sembuh, dan 9,833 kematian.

Sehingga semalam negeri itu merekodkan 17,606 kes aktif dengan 15,471 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,069 ditempatkan di PKRC; 995 dimasukkan ke hospital; dan 71 dirawat di ICU, termasuk 47 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR