
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman mengumumkan keputusan STPM 2021, hari ini (18 Ogos 2022).
Sebanyak 66.82 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 adalah terdiri daripada golongan B40.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata seramai 874 calon atau 2.14 peratus memperoleh PNGK 4.0 dengan 584 adalah golongan B40.
Beliau berkata keputusan STPM 2021 mencatat PNGK 2.79, meningkat 0.01 mata berbanding 2.78 pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya bilangan calon B40 yang memperoleh PNGK 4.0 menunjukkan penurunan peratusan iaitu pada 2020, peratusan B40 adalah 74.76 peratus atau 554 calon.
“Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 meningkat kepada 133 calon, iaitu daripada 741 calon STPM 2020 kepada 874 calon pada 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan STPM 2020 yang turut dihadiri Ketua Eksekutif MPM, Adnan Hussin, hari ini.
Seramai 42,369 calon mendaftar untuk menduduki STPM 2021, dengan 40,926 (96.59 peratus) hadir mendudukinya, menurun berbanding 44,704 dalam STPM 2020.
Mohd Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata keseluruhan pencapaian PNGK calon STPM 2021 adalah meningkat berbanding 2020.
“Dari segi pencapaian PGNK calon secara keseluruhan bagi pencapaian 3.75 dan ke atas, 9.04 peratus; PNGK 3.0 dan ke atas (41.72 peratus); PNGK 2.75 dan ke atas (55.85 peratus); dan PNGK 2.00 dan ke atas (88.24 peratus).
“Dengan peningkatan peratusan calon pada PNGK itu, tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM 2021 diterima masuk ke universiti awam pada tahun ini,”katanya.