66.4 peratus terima dos penggalak

Seramai 15,613,982 atau 66.4 peratus daripada individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak setakat semalam, tatkala kira-kira dua juta penerima dua dos vaksin Covid-19 bakal kehilangan hak keistimewaan, jika tidak mengambil dos ketiga.

Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bermula 1 Oktober tahun lalu, dan Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tempoh sehingga 31 Mac ini untuk semua penerima dua dos vaksin mengambil suntikan doa ketiga itu.

Jika masih gagal berbuat demikian setelah tempoh itu tamat, status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera akan dinyatakan sebagai tidak lengkap, sekali gus menghalang individu terbabit memperoleh keistimewaan, termasuk untuk memasuki mana-mana premis.

Menurut KKM, semalam sahaja seramai 17,651 individu dewasa menerima suntikan dos penggalak masing-masing.

Sementara itu, KKM memaklumkan 22,948,364 atau 97.5 peratus individu dewasa telah melengkapkan suntikan vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal, manakala 23,224,510 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Dalam pada itu, seramai 2,848,270 atau 91.5 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan pada 8 September tahun lalu.

Seramai 2,945,627 atau 94.6 peratus remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sejak 3 Februari lalu hingga semalam pula, 1,305,766 atau 36.8 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntika dos pertama vaksin Covid-19.

Setakat ini belum ada kanak-kanak berkenaan menerima dos kedua.

Keseluruhannya sejak PICK dilancarkan pada 24 Februari 2021 lalu hingga semalam, sebanyak 68,675,263 doa vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing.

BERITA BERKAIT
POPULAR