65,535 kes HFMD, tiga dirawat di ICU

May 31, 2022 · Isu semasa

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan hanya tiga pesakit dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) daripada 65,535 kes yang dilaporkan sehingga 28 Mei lalu, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama dan kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan disahkan dijangkiti EV71, manakala kes ketiga untuk pemantauan selepas pembedahan perut.

“Kes ketiga ini telah pun dipindahkan ke wad pembedahan biasa pada 27 Mei untuk pemantauan lanjut. Kes pertama dan kedua masih di bawah pemantauan rapi di ICU,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 21/2022 (pada 28 Mei) sejumlah 65,535 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 27 kali ganda bagi tempoh sama bagi 2021 (semasa pandemik COVID-19) iaitu 2,333 kes.

Jika dibandingkan dengan tempoh sama pada 2019 (sebelum pandemik COVID-19) dengan kes sebanyak 29,846, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.2 kali ganda manakala kes HFMD yang dilaporkan bagi ME 21/2022 adalah 18,602 berbanding 15,548 pada ME 20/2022 iaitu peningkatan sebanyak 19.6 peratus, katanya.

Beliau berkata sehingga 28 Mei, Selangor menyumbang jumlah kes HFMD tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 18,525 kes (28.27 peratus), diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 8,088 kes (12.34 peratus), Perak 5,810 kes (8.87 peratus), Kelantan 4,905 kes (7.48 peratus), dan Sabah 4,077 kes (6.22 peratus).

Dr Noor Hisham berkata wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Katanya sehingga kini, sebanyak 1,505 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya (502 wabak atau 33.4 peratus ), diikuti Selangor dengan 172 wabak (11.4 peratus) dan Perak 168 wabak (11.2 peratus).

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan prasekolah iaitu 913 wabak (61 peratus) diikuti di rumah persendirian dengan 526 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 51 wabak (tiga peratus),” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menegaskan kepentingan menjalankan saringan kesihatan kepada kanak-kanak di pintu masuk taska/tadika/tabika/prasekolah dan pusat-pusat asuhan serta pembelajaran kanak-kanak bagi mengesan gejala penyakit berjangkit termasuk HFMD.

Beliau berkata premis terbabit adalah tempat mudah berlaku penularan jangkitan penyakit berjangkit disebabkan perhimpunan ramai kanak-kanak.

“Kanak-kanak adalah kumpulan rentan kepada jangkitan kerana sistem imuniti belum matang terutama pada kanak-kanak berumur bawah setahun, terdapat kanak-kanak yang belum pernah dijangkiti penyakit berjangkit lazim berlaku kepada kanak-kanak seperti HFMD, Upper Respiratory Tract Infection (URTI) dan lain-lain serta terdapat kanak-kanak belum lengkap vaksin rutin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Menurut Dr Noor Hisham sehingga 29 Mei, sebanyak 1,174 premis taska/tadika/tabika/prasekolah telah ditutup iaitu 228 premis secara sukarela dan 946 premis ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sebanyak 715 premis (61 peratus) dibuka semula setelah pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah mendapati langkah basmi kuman dan kawalan pencegahan lain telah dilaksanakan oleh premis tersebut, katanya.

Berita berkaitan
Kanak-kanak tertelan dadah semakin stabil, sudah bernafas: PDRM
June 22, 2022· Isu semasa
8,000 kes HFMD dikesan di Perak
June 9, 2022· Isu semasa
Kes HFMD direkod Pulau Pinang meningkat dua kali ganda
June 7, 2022· Isu semasa
82,846 kes HFMD direkodkan KKM setakat 4 Jun
June 7, 2022· Isu semasa
Popular
Nissan Skyline R32 dipamer di Art of Speed dirampas polis
July 3, 2022
Pemuda UMNO kritik penubuhan Pasukan Khas Jihad diumum Ismail Sabri
July 3, 2022
Daripada berhimpun, baik jumpa saya cari jalan turun harga barang: Annuar
July 3, 2022
Kurang sikit makan telur, kata Pengarah KPDNHEP Melaka
July 2, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Daripada berhimpun, baik jumpa saya cari jalan turun harga barang: Annuar
10 jam lalu · Isu semasa
Jika harga barang tak turun, PM tak tolak pertimbang kenaikan bantuan tunai
10 jam lalu · Isu semasa
Nissan Skyline R32 dipamer di Art of Speed dirampas polis
12 jam lalu · Isu semasa
Pemuda UMNO kritik penubuhan Pasukan Khas Jihad diumum Ismail Sabri
14 jam lalu · Isu semasa
Kompleks hiburan sukan konsep digital RM6 juta bakal dibina di Ketereh
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tak serius, kerajaan ambil lewa isu harga barang, kata pemimpin Amanah
July 1, 2022
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
July 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok