64 kematian semalam, 10 negeri catat peningkatan kes baharu

Seramai 64 pesakit Covid-19 disahkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, meningkat berbanding tempoh sama pada Rabu sebanyak 46 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jumlah kematian terbaharu itu termasuk 16 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID).

Angka kematian di seluruh negara sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu kini sebanyak 29,155 kes, termasuk 5,903 kes BID.

Sarawak kekal mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 19 kes kematian semalam, meningkat berbanding 10 kes pada Rabu, menjadikan keseluruhannya 1,399 kes, lapor KKM melalui laman sesawang COVIDNOW.

Sehingga semalam juga, negeri itu merekodkan 7,307 kes aktif dengan 4,342 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 2,024 (PKRC); 839 (hospital), dan 102 di unit rawatan rapi (ICU). Sebanyak 242,846 kes positif dilaporkan di negeri ini dengan 234,413 pesakit telah sembuh.

Sementara itu Johor merekodkan lapan kematian semalam, diikuti Kelantan (tujuh); masing-masing enam di Perak dan Selangor; serta Pahang (empat kes kematian).

Kedah, Sabah dan Terengganu pula masing-masing mencatat tiga kes kematian; masing-masing dua di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur; serta satu kes di Negeri Sembilan. Tiada kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Melaka, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Pecahan kes mengikut negeri pada 4 November 2021.

Pada masa sama, Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – kembali menjadi penyumbang tertinggi peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam.

Dengan merekodkan peningkatan tiga hari berturut-turut, Selangor mencatat 1,344 kes baharu semalam berbanding 1,167 pada Rabu, menjadikan kumulatif di negeri itu sebanyak 717,513 kes positif dengan 694,995 pesakit disahkan sembuh.

Sehingga semalam Selangor merekodkan 14,358 kes aktif dengan 11,809 menjalani kuarantin di rumah, PKRC (1,486 pesakit); hospital (969); ICU (94); dan 9,620 kematian.

Jangkitan baharu di Kuala Lumpur pula meningkat kepada 275 semalam berbanding 199 pada Rabu, dan Putrajaya (55 semalam, 19 Rabu).

Sementara itu, tujuh negeri lain merekodkan peningkatan membabitkan Pulau Pinang sebanyak 340 kes semalam, berbanding 246 pada Rabu; diikuti Melaka (250 semalam, 154 Rabu); dan Terengganu (234 semalam, 209 Rabu).

Perak pula merekodkan 210 kes baharu semalam, berbanding 190 pada Rabu, diikuti Negeri Sembilan (188 semalam, 156 Rabu); Perlis (38 semalam, 27 Rabu); dan Labuan (19 semalam, enam Rabu).

Sejak awal tahun lalu hingga semalam sebanyak 2,486,948 kes positif dilaporkan, dengan 2,396,244 pesakit telah sembuh.

Sementara itu KKM turut melaporkan kes aktif Covid-19 turun semula kepada 66,944 berbanding 67,160 kes pada Rabu.

Daripada jumlah itu, 51,953 menjalani kuarantin di rumah; 8,806 ditempatkan di PKRC; 5,630 dirawat di hospital; dan 555 dimasukkan ke ICU dengan 280 memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR