64 individu positif Covid-19 di UTM Johor Bahru

Pelajar dan kakitangan UTM Johor Bahru menjalani ujian calitan Covid-19 baru-baru ini. - Gambar FB

Sebanyak 64 daripada 838 individu, termasuk kakitangan dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru di Skudai yang disaring sehingga Jumaat lalu, disahkan positif Covid-19.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam satu kenyataan hari ini berkata, 64 kes positif Covid-19 yang dikesan itu membabitkan Kluster Lingkaran Ilmu UTM, yang sebelum ini telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) pada 21 Mei lalu.

“Susulan peningkatan kes yang secara mendadak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di UTM bermula pada 21 Mei 2021 sehingga 3 Jun 2021, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai dengan kerjasama Pusat Kesihatan UTM menjalankan saringan bergerak (mobile sampling) di UTM.

“Seramai 470 kontak termasuk kakitangan dan pelajar telah disaring di perkarangan Masjid UTM sehingga 21 Mei 2021,” kata JKNJ sambil menegaskan 501 individu lagi masih menunggu keputusan ujian.

Sementara itu, UTM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan ujian saringan secara besar-besaran sebagai pengesanan awal Covid-19 dalam kalangan warga kampus yang sedang menjalani kuarantin ketika ini.

Kenyataan itu berkata, keputusan ujian berkenaan dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari.

UTM menegaskan semua operasi fizikal di dalam kampus tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD, manakala kakitangan pula diarah bekerja dari rumah.

“Hanya staf Pusat Kesihatan Universiti dibenar untuk bertugas dari kampus, manakala pintu pagar utama UTM hanya akan dibuka sehingga jam 5 petang.

“Pelajar tidak dibenarkan keluar dari kampus berkuat kuasa serta-merta. Perkhidmatan penghantaran makanan dibuat sehingga jam 10 malam,” kata UTM.

POPULAR