63 pesakit Covid-19 meninggal semalam

Sebanyak 63 pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, turun daripada 88 kes yang dicatat pada Sabtu, menjadikan keseluruhannya 27,921 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Jumlah itu termasuk 11 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau brought in death (BID) , menjadikan keseluruhan kes BID sebanyak 5,646 kes.

KKM menerusi laman sesawangnya COVIDNOW yang dikemas kini tengah malam tadi memaklumkan Sarawak merekodkan kes kematian harian tertinggi semalam apabila merekodkan 13 kes, diikuti Johor (sembilan); Sabah (tujuh); dan Selangor (enam).

Perak pula mencatatkan lima kematian, diikuti masing-masing empat di Kedah, Melaka dan Pulau Pinang; Kuala Lumpur (tiga); masing-masing dua di Kelantan, Pahang dan Perlis; serta masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Terengganu.

Tiada kematian direkodkan di Labuan dan Putrajaya.

Pada masa sama, KKM juga melaporkan 92,246 kes masih aktif di seluruh negara dengan 70,849 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 13,799 dimasukkan ke PKRC, 6,910 dirawat di hospital, dan 688 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 348 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes positif di Negeri Sembilan kini melonjak melepasi 100,000 kes apabila semalam mencatat 214 jangkitan baharu menjadi 100,079 kes.

Keseluruhannya, Selangor kekal mencatat kes positif tertinggi mencecah 697,936 kes berbanding 674,497 kes sembuh, diikuti Sarawak (231,263 positif, 217,015 sembuh); Johor (210,149 positif, 195,507 sembuh); dan Sabah (209,961 positif, 198,328 sembuh).

Sehingga semalam juga tinggal tiga sahaja negeri yang merekodkan kes aktif tertinggi lima angka iaitu Selangor sebanyak 15,311 kes, diikuti Sarawak (13,413 kes), dan Johor (11,556 kes aktif).

BERITA BERKAIT
POPULAR