63 kematian direkod semalam, 70,058 kes masih aktif

Jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam turun kepada 63 kes berbanding 95 kes yang direkodkan pada Khamis, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Daripada jumlah itu, lapan pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau ‘brought in death’ (BID), kata KKM menerusi laman sesawangnya COVIDNOW.

Angka itu menjadikan kumulatif sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu meningkat kepada 28,832 kematian, termasuk 5,835 kes BID.

Daripada jumlah kematian semalam, Sabah merekodkan angka tertinggi iaitu sebanyak 13 kes, diikuti Sarawak (11 kes); Selangor (lapan); serta masing-masing tujuh di Johor dan Perak.

Lima negeri masing-masing mencatat tiga kematian ialah Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, dan Terengganu. Tiada kes kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.

Sementara itu, jumlah kes aktif turun kepada 70,058 kes berbanding 71,358 kes yang dilaporkan pada Khamis.

Daripada jumlah itu, 54,090 pesakit kini menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing, 9,453 pesakit di PKRC, 5,948 di hospital dan 567 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 300 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 6,060 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, turun berbanding 6,377 kes pada Khamis.

Ini menjadikan jumlah kumulatif positif sejak awal tahun lalu sehingga semalam sebanyak 2,455,510 kes, dengan 2,361,919 pesakit disahkan sembuh. Jumlah kumulatif itu termasuk 5,299 kes BID.

BERITA BERKAIT
POPULAR