63 kematian akibat Covid-19 semalam, Sarawak tertinggi

Sarawak terus merekodkan jumlah kematian tertinggi akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Statistik laman sesawang KKM, COVIDNOW hari ini menunjukkan dalam tempoh itu Sarawak merekodkan 20 kematian, termasuk enam kes meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID), berbanding 12 kes pada Ahad.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian di negeri itu sejak awal tahun lalu meningkat kepada 1,352 kes, termasuk 261 kes BID.

Sehingga semalam, Sarawak juga merekodkan 241,253 kes positif dengan 232,544 pesakit telah sembuh.

Negeri itu turut merekodkan 7,628 kes aktif, dan daripada jumlah itu 4,437 pesakit menjalani kuarantin di rumah; PKRC (2,207); Hospital (875); dan unit rawatan rapi (109, termasuk 53 memerlukan alat bantuan pernafasan).

Sementara itu, dalam tempoh sama, seramai 63 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia di seluruh negara, meningkat berbanding 36 kes pada Ahad. Jumlah itu termasuk 18 kes BID.

Angka itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal tahun lalu sehingga semalam sebanyak 28,975 kes, termasuk 5,864 kes BID.

Pada masa sama, Sabah mencatatkan tujuh kematian, diikuti masing-masing enam di Johor dan Terengganu, serta masing-masing lima di Kelantan dan Selangor, dan empat kes di Pulau Pinang.

Kuala Lumpur pula merekodkan tiga kes kematian diikuti masing-masing dua kes di Pahang, Perak, dan Perlis; serta satu kes di Melaka.

Tiada kes kematian dilaporkan di Kedah, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu KKM juga memaklumkan jumlah kes aktif Covid-19 di seluruh negara turun sedikit kepada 67,233 berbanding 67,969 kes yang dilaporkan pada Ahad.

Daripada jumlah itu, seramai 51,835 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 9,082 ditempatkan di PKRC, 5,747 dirawat di hospital, dan 569 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dengan 301 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor kekal negeri tertinggi mempunyai kes aktif iaitu sebanyak 13,959 kes, dengan 11,445 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 1,495 (PKRC), 932 (hospital), dan 87 di ICU.

BERITA BERKAIT
POPULAR