60.2 peratus populasi dewasa lengkapkan dos kedua vaksin

Sebanyak 60.2 peratus atau 14,095,554 daripada populasi dewasa di seluruh negara sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat, semalam.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan penerima dos pertama pula adalah sebanyak 80.9 peratus atau 18,948,648 orang.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan sejak Februari lalu setakat semalam sebanyak 33,044,202 dos.

Labuan terus merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 92.9 peratus atau 63,663 daripada populasi dewasa sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Ini diikuti Lembah Klang dengan 87.8 peratus (5,415,045 orang), Sarawak 86.3 peratus (1,762,553 orang), dan Negeri Sembilan 75.5 peratus (614,523 orang), Perlis 64.1 peratus (116,221 orang), Melaka 52.8 peratus (357,358 orang) dan Pulau Pinang 52 peratus (711,454 orang).

Pahang pula merekodkan sebanyak 47.6 peratus (560,105 orang), Terengganu 45.4 peratus (366,941 orang), Perak 45.3 peratus (843,511 orang), Johor 42.8 peratus (1,160,219 orang) dan Kelantan 42.2 peratus (521,942 orang).

Sabah pula kekal negeri paling rendah menerima suntikan vaksin iaitu 35 peratus (966,363 orang) selain Kedah 41.3 peratus (635,656) orang.

Sementara itu, jumlah pemberian vaksinasi harian semalam adalah sebanyak 408,295 dos membabitkan 155,669 dos pertama dan 252,626 dos kedua.

BERITA BERKAIT
POPULAR