6.5 peratus kanak-kanak Malaysia lengkapkan dua dos vaksin Covid-19

Sebanyak 6.5 peratus atau 229,615 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan 3 Februari lalu hingga semalam (Rabu, 13 April 2022).

Manakala, 38.7 peratus atau 1,374,520 kanak-kanak lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, kata Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Semalam sahaja seramai 32,443 kanak-kanak menerima suntikan dos kedua, manakala 4,598 lagi dos pertama, menurut data laman sesawang CovidNOW.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali semalam berkata dos pertama vaksin Covid-19 di bawah PICKids hanya akan diberikan sehingga 15 Mei ini dan tidak lagi akan ditawarkan selepas tarikh itu

Menurutnya tarikh akhir berkenaan ditetapkan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memandangkan permintaan rendah vaksinasi yang boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

Bagaimanapun katanya keputusan itu tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei ini.

Berita berkaitan: Dos pertama vaksin Covid-19 bagi PICKids ditamatkan selepas 15 Mei 

Sementara itu, KKM juga memaklumkan seramai 15,950,859 atau 67.8 peratus individu dewasa di seluruh negara telah menerima dos penggalak.

Sejak PICK diperkenalkan pada 24 Februari 2021 hingga semalam, 22,959,339 atau 97.6 peratus individu dewasa telah menerima dua dos vaksin Covid-19, manakala 98.8 peratus atau 23,236,086 individu dewasa lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

KKM juga memaklumkan, 92.1 peratus atau 2,865,407 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima dua dos vaksin, manakala 2,967,575 atau 95.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Secara keseluruhannya, lebih 69.37 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi di Malaysia, termasuk rakyat asing, sejak Februari tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 26,054,361 atau 79.8 peratus individu telah menerima dua dos, dan 84.5 peratus atau 27,578,181 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR