59 kematian semalam, 62,890 kes aktif

Seramai 59 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, turun sedikit berbanding 78 kematian yang direkodkan pada Selasa.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini berkata angka terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak wabak itu mula merebak di negara ini awal tahun lalu, kepada 29,486 kes kematian.

Jumlah kematian semalam turut membabitkan 10 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID), menjadikan keseluruhannya 5,961 kes BID.

Sarawak kembali merekodkan angka tertinggi kematian apabila 12 pesakit meninggal dunia, termasuk lima kes BID, menjadikan kumulatif keseluruhan di negeri itu sebanyak 1,476 kes.

Sehingga semalam, negeri itu merekodkan 5,779 kes aktif dengan 3,080 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,805 ditempatkan di PKRC; 797 dimasukkan ke hospital; dan 97 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 48 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhan, Sarawak merekodkan 245,581 kes positif dengan 238,600 pesakit telah sembuh.

KKM turut memaklumkan, Sabah merekodkan 11 kematian baharu; diikuti Perak (lapan); Kedah (lima); dan masing-masing empat di Kelantan, Pulau Pinang, dan Terengganu.

Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat tiga kes kematian; Johor (dua) dan masing-masing satu di Melaka, Negeri Sembilan, dan Pahang.

Tiada kes kematian direkodkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, sebanyak 62,890 kes masih aktif, dengan 48,730 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 7,999 ditempatkan di PKRC; 5,617 dimasukkan ke hospital; dan 544 pesakit dirawat di ICU, termasuk 280 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhannya sejak awal tahun lalu hingga semalam negara merekodkan 2,516,992 kes positif, manakala 2,430,122 daripadanya telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR