5,864 kes baharu Covid-19 hari ini

Sebanyak 5,864 jangkitan baharu Covid-19 dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, turun sedikit berbanding 6,060 yang dicatat dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu kepada 2,466,663 kes.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam, empat negeri merekodkan jumlah tertinggi keseluruhan kes positif melebihi 200,000 iaitu Selangor, Sarawak, Johor, dan Sabah.

Selangor mencatat 710,709 kes positif diikuti, Sarawak (239,513 kes); Johor (216,864 kes); dan Sabah (216,743 kes).

Semalam, lima negeri merekodkan kenaikan jumlah jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari iaitu Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, dan Putrajaya.

Kedah mencatat 470 jangkitan, berbanding 362 kes kelmarin, diikuti Pahang (367 kes baharu, 343 kelmarin); Kuala Lumpur (299 kes baharu, 262 kelmarin); Melaka (264 kes baharu, 253 kelmarin); dan Putrajaya (44 kes baharu, 31 kelmarin).

Dalam tempoh itu, Selangor merekodkan jumlah tertinggi jangkitan harian iaitu sebanyak 1,328 kes, namun ianya turun berbanding 1,431 yang dilaporkan semalam.

Maklumat mengenai pecahan kes hari ini akan dimaklumkan apabila memperoleh laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt, Dr Noor Hisham berkata, jangkaan mengikut kes seharian pada 29 Oktober 2021 untuk seluruh negara adalah 0.95.

Berdasarkan kepada data yang dikongsi oleh beliau, tiga negeri mencatat RT 1 ke atas iaitu Negeri Sembilan dengan RT 1.04; Putrajaya (1.00); dan Kuala Lumpur (1.00).

Sarawak mencatat kadar kebolehjangkitan terendah iaitu RT 0.83.

BERITA BERKAIT
POPULAR