5,859 kes baharu, kadar kebolehjangkitan tunjuk trend penurunan

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun lagi buat hari kedua berturut-turut apabila merekodkan 5,859 kes, berbanding 6,355 dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 2,581,747 kes, berbanding 2,477,314 kes sembuh.

Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 mengikut kes seharian di seluruh negara yang direkodkan semalam juga mula menunjukkan trend penurunan.

Berdasarkan data dikongsikan Dr Noor Hisham menerusi Facebook hari ini, nilai Rt semalam ialah 1.01, menurun berbanding tiga hari sebelumnya, iaitu 1.02 yang direkodkan kelmarin, 1.03 (17 November) dan 1.04 (16 November).

Bagaimanapun, kadar Rt masih pada tahap membimbangkan, memandangkan hanya tiga negeri merekodkan nilai di bawah 1.00 iaitu Sabah dengan 0.98; Sarawak (0.85); dan dan Perlis (0.90).

Negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi semalam adalah Labuan sebanyak 1.13; diikuti Putrajaya (1.12); Kuala Lumpur (1.09); Kelantan (1.08); Selangor (1.07); Pahang (1.05); Negeri Sembilan (1.04); Perak (1.01); manakala Johor dan Kedah (1.03).

Selain itu, tiga negeri mencatatkan Rt 1.00 masing-masing ialah Terengganu, Pulau Pinang dan Melaka.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Untuk rekod, nilai Rt kebangsaan mencatatkan peningkatan semula, melepasi angka 1.00 pada 11 November lalu dengan kadar tertinggi direkodkan adalah 1.05, selama tiga hari berturut-turut pada 13, 14 dan 15 November lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR