
Pengesanan pemandu mabuk turut dilakukan dalam Op Selamat 19 sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini (22 Januari 2023).
Sebanyak 58 kematian direkodkan daripada 52 kemalangan maut jalan raya di seluruh negara sepanjang penguatkuasaan ‘Op Selamat 19’ yang memasuki hari keempat hari ini (22 Januari 2023).
Penunggang motosikal dan pembonceng mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 31 mangsa, diikuti 20 kematian membabitkan pemandu kereta dan penumpang mereka dengan baki kes membabitkan pejalan kaki, penunggang basikal dan pemandu serta penumpang kenderaan pacuan empat roda.
Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Mohd Nasri Omar berkata sebanyak 7,180 kemalangan membabitkan 9,198 kenderaan dilaporkan sepanjang empat hari operasi itu yang dilancarkan pada Rabu lalu sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Jumlah kemalangan pada Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina 2023 meningkat 37 peratus berbanding Op Selamat 17 sempena perayaan sama tahun lalu dengan 5,236 kemalangan.
“Bagaimanapun, angka kematian akibat kemalangan maut dalam empat hari Op Selamat 19 dan Op Selamat 17 mencatat jumlah sama iaitu 58 kematian.
“Op Selamat 19 akan berkuat kuasa 10 hari bermula Rabu lalu hingga 27 Januari ini,” katanya menurut laporan BH.
Mohd Nasri berkata, sepanjang empat hari Op Selamat 19, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 9,653 saman atas enam kesalahan lalu lintas utama.
“Sebanyak 3,250 saman dikeluarkan atas kesalahan langgar lampu isyarat, 2,785 saman untuk kesalahan melebihi had laju dan 1,316 saman kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Selain itu, sebanyak 1,183 saman dikeluarkan atas kesalahan memotong barisan, 692 saman untuk kesalahan memotong di garisan berkembar dan 427 saman kesalahan memandu di lorong kecemasan,” katanya.
Untuk statistik hari keempat semalam, katanya, sebanyak 1,546 kemalangan dicatatkan membabitkan 1,928 kenderaan.
“Kereta mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 1,397 buah atau 72 peratus, diikuti dengan kenderaan pacuan empat roda (256), motosikal (199) dan lori (42).
“Selain itu, 20 kemalangan membabitkan van, 11 bas dan tiga kenderaan teksi,” katanya.