58 kes baharu Omicron, empat jangkitan tempatan pulang umrah

Sebanyak 58 lagi kes positif Covid-19 membabitkan jangkitan varian Omicron dikesan, termasuk empat kes membabitkan penularan tempatan yang dilaporkan di Kedah hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keempat-empat kes itu adalah kontak rapat kepada kes positif Omicron yang pulang dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember 2021 dan disahkan positif pada 24 Disember.

Beliau berkata pendedahan kepada kes itu berlaku pada 13 Disember dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori 2 pada 17 Disember.

“Ujian RT-PCR Covid-19 yang dijalankan pada 19 Disember adalah positif dengan CT Value antara 20.80 hingga 21.49. Mereka kini diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata daripada 54 lagi kes baharu varian Omicron itu, 30 pesakit tiba dari Arab Saudi; Emiriah Arab Bersatu (tujuh); United Kingdom (empat); Nigeria (dua); dan masing-masing satu dari Kazakhstan dan Perancis.

“Dengan keputusan terbaharu itu, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 varian Omicron adalah sebanyak 122 kes.

“Daripada jumlah itu, 117 kes merupakan jangkitan import dari luar negara, manakala lima lagi penularan tempatan. Sebanyak 71 kes daripadanya adalah jemaah umrah,” katanya.

Khairy juga memaklumkan hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan ke atas 1,774 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember 2021 mendapati 1,220 sampel menunjukkan kemungkinan varian Omicron.

“Daripada 1,220 sampel yang berkemungkinan varian Omicron, 928 melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang diarah menjalani kuarantin wajib di kediaman atau rumah untuk terus mematuhi arahan itu, dengan kekal dalam bilik berasingan, dan tidak bertemu ahli keluarga atau individu lain.

Menurutnya kegagalan mematuhi arahan itu akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19, termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam komuniti.

“KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan optimum serta mengelak jangkitan Covid-19 yang teruk serta komplikasinya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR