
Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 12 Jun 2022. - Sumber Covidnow KKM
Seramai 5,774 kanak-kanak berusia lima hingga di bawah 12 tahun melengkapkan suntikan kedua vaksin Covid-19 semalam (12 Jun), manakala 295 kanak-kanak lagi menerima dos pertama.
Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan 3 Februari lalu hingga semalam, 1,237,464 atau 34.9 peratus kanak-kanak telah lengkap divaksinasi.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 1,734,810 atau 48.9 peratus kanak-kanak lagi menerima satu dos.
Sementara itu, sejak PICK dilancarkan 24 Februari tahun lalu hingga semalam, 22,992,619 atau 97.7 peratus individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas telah menerima dua dos.
“Manakala seramai 23,269,787 atau 98.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.
“Jumlah penerima dos penggalak juga meningkat kepada 16,117,584 orang atau 68.5 peratus,” menurut data laman sesawang CovidNOW KKM yang dikemas kini pagi ini.
Bagi remaja pula, sehingga kini sebanyak 5,918,344 dos vaksin telah diberikan, dengan 2,912,754 atau 93.6 peratus telah lengkap divaksinasi, dan 3,005,590 atau 96.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Secara keseluruhannya lebih 71.05 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia yang layak, termasuk rakyat asing, dengan 83.1 peratus atau 27,142,837 menerima dua dos dan 85.8 peratus atau 28,010,187 individu menerima dos pertama.