
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan penemuan sebanyak 5,753 orang warganegara yang meninggal dunia masih belum dipotong nama mereka dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Penemuan tersebut mendapati nama pengundi yang sudah meninggal dunia dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi nama mereka masih wujud dalam senarai Daftar Pemilih Induk (DPI) dan belum dibuat pemotongan oleh SPR.
“Semak silang antara data DPI ST3 (Suku Tahun Ketiga)/2019 dan rekod pemegang kad pengenalan dalam sistem JPN pada 10 Disember 2020 mendapati sejumlah 5,753 warganegara yang telah didaftarkan meninggal dunia dalam rekod JPN masih wujud dan belum dibuat penandaan pemotongan di dalam DPI,” kata laporan audit tersebut.
Daripada laporan tersebut, negeri Johor mencatatkan jumlah tertinggi nama pengundi yang sudah meninggal dunia tetapi masih belum dipotong, sebanyak 806 orang.
Laporan itu juga mendedahkan enam daripada 712 nama pemilih meninggal dunia masih wujud dan belum dipotong nama semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang telah diadakan pada 9 Mei 2018 lepas.
“Semakan lanjut Audit terhadap DPI ST3 (Suku Tahun Ketiga)/2019 mendapati enam daripada 712 pemilih tersebut wujud dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRU14 yang telah diadakan pada 9 Mei 2018.
“PRU14 menggunakan data DPI sehingga ST4 (Suku Tahun Keempat)/2017,” katanya lagi.
Selain itu, pihak Audit juga mendedahkan hasil semakan terbaharu yang dijalankan di Selangor mendapati mendapati 694 pemilih yang telah meninggal dunia masih berstatus aktif dan belum dibuat pemotongan dalam DPI,” katanya.
Pada 7 hingga 9 September 2020, pihak Audit telah membuat semakan lanjut terhadap 709 sampel rekod pemilih di Negeri Selangor yang telah meninggal dunia.
“Hasil semakan tersebut mendapati 694 pemilih yang telah meninggal dunia masih berstatus aktif dan belum dibuat pemotongan dalam DPI,” katanya.
Satu analisisa juga dijalankan terhadap Daftar Pemilih Tahun 2019 semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.23 Chini yang dikemas kini sehingga 7 Mei 2020 bagi pengesahan lanjut pemilih yang telah meninggal dunia.
“Pihak Audit telah membuat semakan dokumen DPPR yang ditanda oleh Kerani Pilihan Raya1 semasa PRK tersebut di Ibu Pejabat SPR pada 17 Disember 2020.
“Semakan Audit mendapati nama 10 pengundi yang telah meninggal masih wujud dalam DPPR dan tidak ditanda potong seperti dalam Jadual 20,” katanya.
Susulan pendedahan laporan audit tersebut, SPR akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak JPN bagi membincangkan pelan tindakan penambahbaikan terhadap kerjasama antara SPR dan JPN untuk memastikan kelancaran perkongsian maklumat kematian warganegara antara JPN dan SPR.
Akses kepada maklumat kematian warganegara adalah tertakluk kepada wujudnya maklumat kematian tersebut dalam sistem. Tarikh proses rekod kematian mungkin berbeza dengan tarikh daftar kematian tersebut.