5,727,151 individu terima dos penggalak, 62 kes Omicron dikesan

Jumlah individu yang menerima suntikan dos penggalak sejak dilancar 14 Oktober lalu hingga semalam semakin meningkat, tatkala Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 62 varian Omicron dikesan di negara ini.

KKM memaklumkan seramai 5,727,151 atau 24.5 peratus individu yang layak telah menerima suntikan dos penggalak daripada lebih 57.11 juta dos vaksin yang diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 62 kes membabitkan varian Omicron disahkan menerusi ujian jujukan genom penuh.

“Sebanyak 306 kes lagi telah dikesan tetapi belum disahkan dengan ujian jujukan genom penuh. Ujian ini yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) memakan masa lapan hingga 14 hari,” katanya dalam kenyataan ringkas lewat malam tadi.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sela masa antara dos kedua vaksin Covid-19 dan suntikan dos penggalak dipendekkan kepada tiga bulan berbanding enam bulan bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca.

Katanya hasil dapatan yang dijalankan oleh institut kesihatan negara menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19 berkurangan dengan masa.

“Data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi, daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.

“Selain itu, bukti kukuh yang terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan vaksin penggalak Covid-19 mungkin meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron,” kata Khairy.

Hasil penilaian bukti sedia ada, warga emas berumur 60 tahun ke atas serta individu dewasa yang menerima semua jenis vaksin Pfizer, AstraZeneca dan CoronaVac amat disyorkan untuk menerima vaksin penggalak sekurang-kurangnya tiga bulan, selepas menerima vaksin primer.

Selain itu, keutamaan pemberian dos penggalak kepada individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang dan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang sudah menerima vaksin lengkap sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.

Pemberian dos penggalak ini dengan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas dan seterusnya 18 tahun ke atas.

Sementara itu, menerusi kemas kini laman sesawang Covidnow pagi ini, KKM memaklumkan 78.4 peratus atau 25,596,683 daripada populasi Malaysia telah lengkap divaksinasi, manakala 79.6 peratus atau 25,985,559 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Daripada jumlah itu, seramai 22,846,708 atau 97.6 peratus populasi dewasa telah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing, dan 23,142,519 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sejak 8 September lalu sehingga semalam, seramai 2,749,975 atau 87.4 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, sementara 2,843,040 atau 90.4 peratus remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, menjadikan keseluruhannya lebih 5.59 juga remaja telah menerima vaksin Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR