57 kematian semalam, Pulau Pinang dan Selangor tertinggi

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 semalam meningkat kepada 57 kes, termasuk lima pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat dirawat di hospital atau ’brought in death’ (BID).

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang Covidnow memaklumkan keseluruhannya 31,192 kematian direkodkan sejak awal tahun lalu hingga semalam, termasuk 6,299 kes BID.

Dua negeri merekodkan jumlah kematian tertinggi semalam iaitu masing-masing sembilan kes di Pulau Pinang dan Selangor, kata KKM hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Pulau Pinang sebanyak 1,722 kes. Negeri itu mencatat kumulatif positif sebanyak 158,967 kes, dengan154,247 pesakit sembuh.

Sehingga semalam, Pulau Pinang mencatat 2,998 kes aktif, dengan 2,728 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 94 ditempatkan di PKRC; 154 dimasukkan ke hospital; dan 22 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk sembilan daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 17 daripada 340 kluster di negeri itu masih aktif, termasuk tujuh yang melibatkan kluster berkaitan tempat kerja; dan masing-masing lima kumpulan berisiko tinggi serta pendidikan.

Sejak 24 Februari hingga semalam, seramai 1,519,446 atau 85.7 peratus populasi di Pulau Pinang telah lengkap divaksinasi, 86.6 peratus atau 1,534,532 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 271,880 individu menerima dos penggalak.

Sementara itu bagi Selangor, pula jumlah kematian kini mencecah 9,898 kes, termasuk 2,098 BID. Keseluruhannya negeri itu mencatat 778,292 kumulatif kes positif, dengan 754,277 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, Selangor merekodkan 14,117 kes aktif, termasuk 12,605 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 656 ditempatkan di PKRC; 795 dimasukkan ke hospital; 61 pesakit dirawat di ICU, dengan 43 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 1,297 kluster yang dikesan di negeri itu, 82 masih aktif, kebanyakannya melibatkan tempat kerja, lapor KKM.

Sehingga semalam juga, sebanyak 94.0 peratus atau 4,754,828 individu di Selangor telah lengkap divaksinasi, 95.4 peratus atau 4,832,113 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,019,223 individu lagi menerima dos penggalak.

Bagi jumlah kematian di negeri lain, Perak merekodkan tujuh kematian; diikuti masing-masing enam di Terengganu dan Kuala Lumpur; Negeri Sembilan (lima); masing-masing empat di Kedah dan Kelantan; masing-masing dua di Johor, Pahang dan Sabah, serta satu di Perlis.

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

KKM juga memaklumkan keseluruhannya sehingga semalam negara mencatat 2,724,684 kumulatif kes positif, dengan 2,642,469 pesakit telah sembuh, dan 51,023 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 42,873 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 4,069 ditempatkan di PKRC; 3,728 dimasukkan ke hospital; dan 353 pesakit dirawat di ICU, dengan 189 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR