
Fasiliti kesihatan turut terdedah kepada banjir.
Sebanyak 552 daripada 2,891 fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) berisiko mengalami banjir, terutama ketika musim Monsun Timur Laut yang bakal melanda negara tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan kerajaan sementara, Khairy Jamaluddin berkata jumlah itu adalah berdasarkan data dikumpul Jabatan Kesihatan Negeri.
“Masih ingat bencana banjir terburuk yang melanda Kelantan dan negara pada tahun 2014 di mana Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Hospital Kuala Krai dan kebanyakan fasiliti kesihatan KKM ditenggelami banjir dalam tempoh yang agak lama,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Bencana dan Pelancaran Buku “An Overview Of Disaster Life Support In Disaster Management” di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Sehubungan itu, beliau berkata KKM akan menugaskan seramai 11,085 anggota kesihatan awam bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.
Memetik Awani beliau berkata langkah tersebut diambil dalam usaha memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada mangsa banjir.
Selain itu, beliau berkata seramai 4,263 anggota yang terdiri daripada 1,820 petugas Rapid Assessment Team (RAT) dan 2,443 petugas Rapid Respond Team (RRT) turut akan melaksanakan penilaian dan respons cepat kepada mangsa-mangsa atau isu yang melibatkan bencana.
Mengulas lanjut, Khairy berkata selain kesiapsiagaan menghadapi banjir, pasca banjir juga perlu diambil perhatian yang serius bagi mengurangkan beban dan kesulitan, sekali gus melancarkan penyampaian perkhidmatan pasca banjir.
“Sebagai contoh, kejadian banjir di Shah Alam dan Hulu Langat sebelum ini yang menghadapi masalah pembersihan lumpur yang tebal dengan kekurangan peralatan pembersihan.
“Dalam hal ini, semua Jabatan Kesihatan Negeri telah diarah untuk mengambil tindakan awal membuat perolehan peralatan yang diperlukan seperti water jet dan genset,” katanya Khairy.
Pada masa sama, Khairy berkata KKM mengambil inisiatif dengan melakukan pemantauan ubat-ubatan berkala secara mingguan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
Di samping itu, katanya KKM akan menyelaras mobilisasi stok ubat-ubatan semasa banjir bagi stok yang mengalami kekurangan.
“Pemantauan terhadap kes-kes penyakit berjangkit juga akan diberi penekanan khususnya penyakit bawaan air seperti kolera (taun), demam tifoid (kepialu), leptospirosis (kencing tikus) dan hepatitis A.
“Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya komplikasi umum penyakit bawaan air seperti jangkitan kuman dalam darah, kegagalan fungsi buah pinggang dan hati serta kematian,” katanya.