5,501 kes baharu, kadar jangkitan di Labuan semakin tinggi

Jumlah kes baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun semula apabila dalam tempoh itu sebanyak 5,501 kes dilaporkan, berbanding 6,144 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 2,614,480 berbanding sehingga semalam 2,510,029 pesakit telah sembuh.

Sementara itu, Labuan terus mencatat peningkatan dalam kadar kebolehjangkitan tertinggi apabila merekodkan Rt 1.19 berbanding sehari sebelumnya sebanyak 1.18.

Semalam, jumlah jangkitan baharu di Wilayah Persekutuan itu meningkat daripada 27 kes pada Rabu kepada 38 kes semalam, kenaikan tiga hari berturut-turut daripada tujuh kes yang dicatat pada 23 November lalu.

Sehingga semalam, Labuan mencatat 10,339 kumulatif kes positif, dengan 10,106 pesakit telah sembuh, 149 kematian dan 161 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 134 pesakit dikuarantin di rumah; 17 ditempatkan di PKRC; lapan dimasukkan ke hospital; dan dua dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan seorang daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah 0.99.

Bagi kadar kebolehjangkitan di negeri-negeri lain, lapan lagi negeri mencatat Rt melebihi 1.00.

Melaka dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat Rt 1.06; diikuti 1.04 di Selangor dan Putrajaya; 1.03 di Kedah dan Pahang; serta 1.02 di Johor dan Perak.

Sabah, Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing mencatat Rt 0.99; manakala Negeri Sembilan dan Kelantan 0.98; Perlis (0.93); dan Sarawak (0.80).

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR