55 kematian, tertinggi tahun ini

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam mencatat angka tertinggi sepanjang tahun ini, apabila merekodkan 55 kes.

Daripada jumlah itu 23 pesakit meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau kes ’brought in death’ (BID), lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada 23 kes BID itu adalah dalam kalangan 265,339 individu yang diarah menjalani kuarantin di rumah, kerana tiada maklumat yang dibekalkan.

Jumlah kematian semalam menjadikan kumulatif sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 32,488 kes, termasuk 6,629 kes BID – keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sarawak, Terengganu, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Menerusi laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini awal pagi tadi, KKM memaklumkan seramai 10 kematian direkodkan di Selangor, menjadikan kumulatif sebanyak 10,142 kes, termasuk 2,165 kes BID.

Dalam tempoh 14 hari lalu, Selangor mencatat 65 kes kematian atau purata 10 kes bagi setiap sejuta penduduk, dengan trend peningkatan sebanyak 309 peratus.

Berdasarkan taburan kematian mengikut kumpulan umur di Selangor minggu lalu, sebanyak 39.5 peratus melibatkan individu berusia 80 tahun dan ke atas; 16.3 peratus (60-69 tahun); 14.0 peratus (70-79 tahun); masing-masing 11.6 peratus bagi kumpulan umur 40-49 tahun dan 50-59 tahun.

Sebanyak 4.7 peratus kematian lagi melibatkan kumpulan umur 30 hingga 39 tahun, dan 2.3 peratus (18-29 tahun).

Sementara itu. Sabah pula merekodkan sembilan kes kematian, diikuti lapan di Johor; Perak (tujuh); dan masing-masing empat di Kedah, Melaka, dan Pahang.

Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pula masing-masing mencatat tiga kes kematian, dan masing-masing satu kes di Kelantan, Negeri Sembilan, dan Perlis.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 23 Februari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR