55 kematian semalam, kes aktif Covid-19 terus melonjak

Lima puluh lima lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 29,631 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Daripada jumlah itu 11 pesakit meninggal dunia sebelum sempat diberikan rawatan perubatan atau dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID). Keseluruhannya terdapat 5,994 kes BID yang dilaporkan sehingga semalam.

Statistik laman sesawang COVIDNOW, menunjukkan Sarawak mencatatkan kematian tertinggi iaitu sebanyak 22 kes, berbanding enam kes pada Jumaat. Jumlah itu termasuk lima kes BID.

Jumlah keseluruhan kematian di negeri itu sejak awal tahun lalu, kini melonjak kepada 1,511 kes, termasuk 303 kes BID.

Sehingga semalam Sarawak merekodkan 5,281 kes aktif, dengan 2,849 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,563 ditempatkan di PKRC; 779 dirawat di hospital; dan 90 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), termasuk 42 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya Sarawak merekodkan 246,803 kes positif, dengan 240,289 pesakit telah disahkan sembuh.

Pada masa sama, Kelantan, Perak, Sabah, dan Selangor masing-masing merekodkan lima kematian; diikuti masing-masing empat di Kedah dan Terengganu; dan masing-masing satu di Johor, Pahang, dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Melaka yang kini berdepan demam Pilihan Raya Negeri merekodkan dua kematian, menjadikan keseluruhannya 914 kes, termasuk 118 kes BID. Sejak awal tahun lalu hingga semalam, negeri itu mencatat 67,658 kes positif dengan 64,168 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam juga, Melaka merekodkan 2,726 kes aktif, dengan 2,245 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 325 ditempatkan di PKRC; 141 dimasukkan ke hospital; dan 15 pesakit dirawat di ICU, termasuk tujuh yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

KKM berkata 65.2 peratus daripada keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 melibatkan pesakit yang tidak divaksinasi, 22.1 peratus belum lengkap divaksin, dan 12.6 peratus adalah individu yang lengkap divaksinasi.

Dari segi umur pula, 55.0 peratus daripada kematian melibatkan individu berusia 60 tahun dan ke atas; 18 hingga 59 tahun (44.6 peratus); 12 hingga 17 tahun (0.2 peratus); dan 0 ke 11 tahun (0.2 peratus).

Individu lelaki merekodkan 57.0 peratus daripada jumlah kematian, sementara 87.1 peratus pula melibatkan warganegara dan 12.9 peratus membabitkan rakyat asing.

KKM juga memaklumkan sehingga semalam jumlah kes aktif meningkat lagi kepada 65,319 kes, berbanding 64,277 pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 50,862 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 8,196 ditempatkan di PKRC; 5,734 dimasukkan ke hospital; dan 527 pesakit dirawat di ICU, termasuk 277 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya sejak wabak Covid-19 mula menular di negara ini awal tahun lalu hingga semalam, 2,535,573 kes positif dilaporkan, dengan 2,446,197 daripadanya telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR