55 kematian, kes aktif terus naik

Seramai 55 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sebanyak 29,892 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jumlah itu termasuk sembilan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebelum sempat diberi rawatan atau kes ‘brought in death’ (BID), menjadikan keseluruhan kes BID sebanyak 6,045.

Sarawak kembali merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 10 kes, menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sehingga semalam sebanyak 1,551 kes, termasuk 312 kes BID.

Sehingga semalam, Sarawak merekodkan 4,246 kes aktif, termasuk 2,334 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,227 ditempatkan di PKRC; 601 dimasukkan ke hospital; dan 84 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 31 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri itu merekodkan 248,261 kes positif dengan 242,747 pesakit telah disahkan sembuh.

Sementara itu, Terengganu pula merekodkan lapan kes kematian; diikuti Kedah (tujuh); masing-masing enam di Kelantan dan Selangor; dan Johor (lima kes).

Perak merekodkan empat kematian baharu semalam; diikuti masing-masing dua di Melaka, Negeri Sembilan, dan Kuala Lumpur; dan masing-masing satu di Pahang, Perlis, dan Sabah.

Tiada kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, KKM turut memaklumkan jumlah kes aktif Covid-19 terus meningkat daripada 66,793 pada Rabu, kepada 67,358 kes semalam.

Daripada jumlah itu, 52,820 pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah; 8,181 ditempatkan di PKRC; 5,816 dimasukkan ke hospital; dan 541 pesakit dirawat di ICU, dengan 263 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,563,868 kes positif, berbanding 2,472,283 pesakit disahkan sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR